suria

Suria FM mencatat peningkatan jumlah pendengar mingguan lebih 11 peratus, tempat keempat stesen radio berbahasa Melayu

DJ Lin dan Feeya Iskandar.

SURIA FM mencatatkan peningkatan yang sangat menggalakkan dalam peratusan jumlah pendengar sekaligus mengekalkan kedudukan di tangga keempat teratas stesen radio berbahasa Melayu dan juga secara keseluruhan radio komersial di Malaysia.

Menurut Pengurus Besar Suria, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, peningkatan jumlah pendengar mingguan sebanyak 11.9 peratus melalui keputusan kaji selidik merupakan berita gembira buat mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Suria FM lancar platform e-dagang, pendengar boleh beli barangan eksklusif di Kedai Suria!

Malah DJ Lin memberitahu Suria FM tetap memberi kandungan yang segar serta menghiburkan biarpun industri radio terjejas berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu.

“Suria sentiasa komited dalam usaha meningkatkan prestasi radio saban tahun dan tentunya peningkatan jumlah pendengar mingguan sebanyak 11.9 peratus yang dibuktikan melalui keputusan kaji selidik radio menjadi satu berita gembira buat Suria FM.

Suria 1

Ajak Suraya dan Fizi mengendali segmen Team Pagi Suria.

“Walaupun industri radio terkesan dengan pandemik Covid-19, namun Suria FM tetap sentiasa berusaha memberikan kandungan yang segar dan menghiburkan selari dengan sasaran pendengar kami sekaligus menarik lebih ramai orang untuk mendengarkan serta mengikuti Suria walaupun hanya duduk di rumah

“Terima kasih kepada pendengar yang setia menjadikan Suria radio pilihan kegemaran anda dan terima kasih juga kepada pihak penaja serta syarikat-syarikat pengiklanan yang mempercayai jenama Suria,” kata DJ Lin.

Berdasarkan keputusan kaji selidik GfK Pengukuran Pendengaran Radio, Wave 2 2021 yang dikeluarkan baru-baru ini, stesen radio Suria FM berjaya mencatatkan peningkatan pendengar mingguan tertinggi di antara stesen radio berbahasa Melayu di Malaysia iaitu sehingga 3.09 juta pendengar daripada 2.76 juta pendengar dari sebelum ini.

Suria Cinta kekal sebagai segmen radio yang mempunyai tempoh masa mingguan tertinggi dihabiskan untuk mendengar (TSL) di antara stesen radio komersial berbahasa Melayu tertinggi iaitu selama tiga jam 17 minit sepanjang Ahad hingga Jumaat dari pukul 8 malam sehingga 1 pagi.

Suria sentiasa komited dalam usaha meningkatkan prestasi radio saban tahun.

DJ LIN

PENYAMPAI RADIO & PENGURUS BESAR SURIA

Segmen Team Pagi Suria kelolaan Ajak, Fizi Ali dan Suraya Borhan pada setiap Isnin hingga Jumaat pukul 6 pagi hingga 10 pagi mencatatkan peningkatan peratusan pendengar mingguan tertinggi sebanyak 22 peratus dari kajian sebelumnya, mencapai 1.5 juta pendengar setiap minggu.

Segmen itu juga berjaya mencatatkan peningkatan pendengar eksklusif tertinggi antara empat stesen radio berbahasa Melayu yang tertinggi di Malaysia.

Manakala segmen Gaya Suria kelolaan Cik Piah pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula 10 pagi hingga 1 petang dan juga Muzik Top Suria pada 1 petang hingga 3 petang pula mencatatkan peningkatan peratusan pendengar mingguan dan eksklusif yang tertinggi di antara semua stesen radio berbahasa Melayu.

Segmen Suria Petang yang dikelolakan oleh Sharifah Shahirah dan Tyzo pada setiap Isnin hingga Jumaat, 3 petang hingga 7 malam pula berjaya mencapai 1.7 juta pendengar setiap minggu dan mencatatkan peningkatan jumlah pendengar eksklusif tertinggi antara semua stesen radio berbahasa Melayu.

Suria 2

Shiera atau Rara bersama Tyzo.

Bukan itu sahaja, platform digital kreatif Suria iaitu media sosial Suria Malaysia, laman web suria.my dan YouTube Suria TV turut mencatatkan peningkatan sehingga 2.5 juta pengikut dan 214 juta jumlah tontonan.

Jumlah pendengar dalam talian menerusi laman web dan aplikasi Suria turut meningkat dengan jumlah keseluruhan sebanyak 51 juta pendengar.

Muat turun aplikasi Suria dan layari laman web suria.my untuk mendapatkan akses percuma kepada semua informasi, peraduan dan maklumat terkini mengenai Suria FM 24 jam setiap hari, dimana-mana sahaja, pada bila-bila masa.

Sehingga kini, aplikasi SURIA telah dimuat turun sebanyak 1.18 juta kali menerusi AppStore, Google Playstore dan Huawei App Gallery.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain