BENGANG bayaran belum diterima, penyanyi dan pengacara Akma Abdullah menggesa seorang individu yang didakwa penganjur sebuah teater melunaskan hutangnya yang tertunggak sejak 10 tahun lalu. Ujar Akma, 36, hutang yang dimaksudkan itu ialah 50 peratus baki bayaran teater muzikal Terima Kasih Cinta yang dibintanginya pada sekitar tahun 2011. ARTIKEL BERKAITAN: Hilang Sabar, Pelakon Teater Terima Kasih Cinta Tuntut Bayaran Penuh ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon 'Terima Kasih Cinta' Tidak Pura-Pura Menyanyi Tuntutan hutang itu diungkit semula selepas individu berkenaan dikhabarkan bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan datang. “Isu bayaran teater ini sudah lama, dekat 10 tahun. Bukan saya sengaja bangkitkan isu ini tapi cuma mahu dia berlaku adil. “Kami semua para pelakon teater muzikal Terima Kasih Cinta masih lagi berhubung antara satu sama lain, terkejut apabila mengetahui yang dia kini bakal menjadi calon wakil rakyat. “Saya agak terkilan dengan apa yang terjadi, macam mana dia boleh terfikir untuk jadi wakil rakyat sedangkan hutang lama masih lagi belum diselesaikan. Ada antara kru yang terlibat sudah meninggal dunia,” ujar bekas bintang Akademi Fantasia musim ketiga. Akma tuntut bayaran belakon teater 10 tahun lalu. Terdahulu, Akma dan beberapa pelakon teater muzikal Terima Kasih Cinta meluahkan perasaan tidak puas hati di laman Twitter dan menuntut baki bayaran yang masih tertunggak. "Kalau mahu bertanding dan menjadi calon, selesaikan dulu apa yang tertangguh. "Jadi bijak memilih ya teman-teman di Sarawak," luah mereka di Twitter. Selain itu Akma berkata, dia bersama pelakon lain serta kru sudah memberikan komitmen sepenuhnya bagi menjayakan pementasan tersebut. Katanya, persiapan untuk pementasan mengambil masa selama enam bulan dan terpaksa menolak 'job' lain bagi memberikan perhatian kepada projek itu. Sudah 10 tahun berlalu Akma masih tak dapat 50 peratus bayaran lakonan teater Terima Kasih Cinta. "Kami para pelakon dan kru yang lain memang berhempas pulas menjayakan teater muzikal tersebut, kami mengambil masa enam bulan untuk buat persediaan dan sebagainya. "Enam bulan tu bukan sekejap ye, kami tidak dapat terima job lain kerana komitmen untuk muzikal tersebut," ujarnya. Tambah Akma dia sudah beberapa kali cuba berjumpa dengan individu berkenaan, bagaimanapun usahanya gagal apabila pihak tersebut hanya sekadar berjanji untuk membayar. Teater muzikal Terima Kasih Cinta dipentaskan di Istana Budaya pada 19 Februari hingga 6 Mac 2011 turut dibarisi pelakon hebat seperti Safura, Norish Karman, Vince Chong, Farahdhiya, Amerul Affendy, Iedil Putra dan Tony Eusoff. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI