suria

10 tahun belakang tabir, Zwen Addeen mahu dikenali sebagai penyanyi... Teringin buat persembahan pentas

Zwen Addeen mahu bakat lebih dikenali

NAMA penyanyi Zwen Addeen mungkin masih belum cukup dikenali dalam kalangan peminat muzik tanah air.

Tidak ramai juga yang tahu jejaka berusia 30 tahun ini sudah hampir sepuluh tahun terlibat dalam dunia seni.

Jika sebelum ini dia lebih fokus kepada kerja belakang tabir, kali ini Zwen nekad untuk menonjolkan bakat nyanyiannya supaya lebih dikenali.

"Saya sudah lama terlibat dalam industri dan banyak mencipta lagu yang pernah dijadikan lagu tema drama popular televisyen.

"Selain itu saya juga pernah menyertai beberapa program di televisyen sebelum ini. Cuma belum rezeki saya untuk betul-betul dikenali sebagai penyanyi.

"Sekarang saya mengambil langkah untuk lebih ke depan sebagai seorang penyanyi dan berharap akan diberi banyak peluang untuk menyanyi di pentas. Dengan itu orang akan lebih kenal bakat serta lagu ciptaan saya," jelas Zwen.

Zwen percaya ada ruang dan peluang untuknya.

Zwen percaya masih ada ruang untuk serlahkan bakat.

Pemilik nama sebenar Mohd Izwan Nordin ini juga memberitahu dia melalui waktu sukar untuk menempatkan diri dalam industri sehingga pernah merasa putus asa.

Katanya, dia juga tidak banyak diberikan peluang untuk membuat persembahan pentas berikutan kurang dikenali.

"Saya rasakan sudah lama berada dalam industri namun masih belum sampai di satu tempat yang saya inginkan.

"Ada satu ketika saya terpaksa mengutip sampah supaya saya dapat kenal lebih rapat dengan seorang penganjur program pentas.

"Lagu saya dimainkan ketika itu namun disebabkan orang tidak kenal saya, jadi mereka tidak memberi saya peluang untuk naik ke atas pentas.

"Ketika itu saya mula sedar sebenarnya saya betul-betul mahu teruskan menyanyi dan akan mencari peluang sebaik mungkin agar nama saya dikenali," jelas Zwen.

Lagu saya dimainkan ketika itu namun disebabkan orang tidak kenal saya, jadi mereka tidak memberi saya peluang untuk naik ke atas pentas.

ZWEN ADDEEN

PENYANYI

Jejaka asal Johor ini juga sedar akan cabaran dunia seni serta persaingan bakat baharu masa kini. Dia juga faham situasi semasa sekarang yang tidak menentu akibat pandemik.

"Saya pernah melalui jalan yang lebih sukar. Jadi ia bukanlah alasan untuk saya berputus asa sekarang ini. Pasti ada jalanya.

"Masih belum terlambat untuk saya kembali semula. Usia juga bukanlah satu penghalang untuk saya menyerlah diri dan bakat sendiri," jelas Zwen.

Zwen baru sahaja melancarkan lagu baharu berjudul Syurga Cinta Kita yang merupakan ciptaan sepenuhnya Adzrul Abdullah.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain