suria

Arwah ibu Radhi OAG sempat pesan hindari najis dadah - “Dia suruh saya tinggalkan benda biasa saya buat dulu”

Radhi masih ingat pesanan arwah ibunya.

PEMERGIAN ibu tercinta pada 14 Januari lalu benar-benar meninggalkan kesan cukup mendalam buat penyanyi Radhi OAG.

Radhi atau nama sebenar Muhammad Radhi Razali, 44, berkata hubungannya dengan ibu iaitu Allahyarham Fatimah Wee Abdullah, 66, cukup akrab sehinggakan mereka sering berkongsi baju yang sama.

"Sekarang ini tengoklah saya pakai baju arwah emak saya. Saya memang kongsi baju dengan arwah mak sejak kecil. Saiz baju kami sama.

ARTIKEL BERKAITAN: “Orang kita malu mengaku pernah terjebak dadah” - Radhi OAG lancar radio 'online' bantu penagih, bawa anak perempuan jadi DJ

ARTIKEL BERKAITAN: Radhi OAG bersyukur dapat hak penjagaan anak perempuan - “Bakal isteri kena minta restu Aisyah dulu”

"Kalau ada sesiapa perasan, setiap kali buat persembahan pun saya memang akan pakai baju emak saya sebelum ini.

"Ini menunjukkan betapa hubungan kami sebagai ibu dan anak sangat rapat. Cincin di jari saya ini pun mak punya," katanya kepada mStar.

radhi 4

Radhi pakai baju ibu.

Radhi ditemui pada majlis pelancaran Sudut Produk Selebriti & Amirul Grocer Cawangan Shah Alam, di Seksyen 15 Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Radhi merupakan salah seorang selebriti yang memasarkan produk madu sunnah dan propolis sebagai sumber pendapatan di Amirul Grocer dan membekalkan produk sejuk beku roti puri jenama Tisha.

Alhamdulillah mak pergi dalam keadaan yang tenang... sayalah orang terakhir yang ajar dia ucap kalimah syahadah sebelum arwah menutup mata

RADHI OAG

PENYANYI

Allahyarham Fatimah meninggal dunia di Petaling Jaya, Selangor akibat kanser usus dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 10, Kota Damansara, Selangor.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Generasiku ini turut meluahkan rasa syukur kerana berada di sisi ibunya sebelum wanita itu menghembus nafas terakhir.

"Mak pergi selepas 40 hari abang sulung saya iaitu Termidzi Razali meninggal dunia. Arwah pun menghidap penyakit kanser iaitu kanser darah dan kulit.

radhi 6

Ibu Radhi meninggal dunia akibat kanser usus pada 14 Januari lalu.

"Alhamdulillah mak pergi dalam keadaan yang tenang... sayalah orang terakhir yang ajar dia ucap kalimah syahadah sebelum arwah menutup mata.

"Ia momen yang tak boleh dilupakan sampai bila-bila... semasa hayatnya, saya selalu urut emak dan masak untuk dia," ujarnya.

Dalam pada itu, Radhi memberitahu masih mengingati pesanan arwah ibunya agar menjauhi najis dadah dan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

“Banyak pesanan emak beri sebelum ini... InsyaAllah saya akan kotakan nasihatnya. Allah jemput dia pergi juga sebenarnya merupakan satu peringatan buat saya untuk jadi nak yang soleh.

radhi 2

Radhi rancang adakan showcase dalam masa terdekat.

"Walaupun sedih dengan pemergiannya tapi saya rasa satu beban yang dia tanggung dah dilepaskan. Tak sanggup tengok mak menangis.

"Dia suruh saya tinggalkan benda biasa saya buat dulu... dadah dan sebagainya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Radhi berhasrat mengadakan satu showcase khas sebagai usaha mencari wang untuk pembayaran bil hospital ibunya yang tertunggak.

Persembahan istimewa itu dijangka berlangsung di Bayang Coffee Kafe, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada Mac sebelum Ramadan tahun ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain