suria

Nelydia Senrose bimbang hati bolak-balik, mahu jadi muslimah lebih baik

Nelydia dalam proses menjadi muslimah yang lebih baik.

IMEJ bertudung pelakon Nelydia Senrose sekembalinya daripada mengerjakan umrah pada Disember tahun lalu dan diikuti kembara percutian ke negara Timur Tengah mencuri perhatian ramai.

Bagaimanapun Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, enggan terlalu terburu-buru mengesahkan dia sudah memakai tudung sepenuhnya namun mengakui masih dalam proses menjadi muslimah yang lebih baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Nelydia Senrose selamat bergelar isteri ahli perniagaan

"Penghijrahan ini saya mahu jalani selangkah demi selangkah. Saya memang ke arah itu, cuma tak berani nak cakap lebih. Saya tak mahu terlalu drastik seperti melangkau urutan abjad A hingga terus ke Z.

"Budak belajar berenang pun tak dicampak terus ke tempat yang dalam bimbang lemas. Sama juga dengan saya yang masih bertatih. Dalam proses belajar, mencuba, mencari dan mengenal lebih soal diri dan mendalami agama Islam.

Nelydia 2

Imej bertudung Nelydia mendapat pujian netizen.

"Kita pun nak sambut Ramadan, jadi ia juga satu cara menghormati bulan itu. Sekaligus saya mahu menjadi muslimah yang lebih baik. Sekembali daripada umrah saya perlahan-lahan memakai tudung.

"Dapat berkunjung ke negara Arab Saudi pun kira sesuai lokasi itu untuk berhijab. Saya mula belajar, apa yang terdedah ditutup sedikit demi sedikit," katanya.

Imej yang dipamerkan juga mengundang rasa gembira dalam kalangan peminat.

Dapat berkunjung ke negara Arab Saudi pun kira sesuai lokasi itu untuk berhijab.

NELYDIA SENROSE

PELAKON

Rata-rata mendoakan isteri kepada ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid ini terus istiqamah.

Malah, jenama MINAZ Hijab juga pantas menyuntingnya sebagai wajah koleksi raya mereka yang dilancarkan pada 31 Mac.

Mengenai jenama tudung itu, pelakon yang bakal muncul dengan drama Khilaf Asmara di TV3 terbitan Radius One Sdn Bhd itu mengakui tertarik dengan konsep minimalis diketengahkan.

Nelydia 1

Nelydia bersama pengasas jenama MINAZ iaitu Pija (kiri duduk).

Dalam pada itu, pelakon berusia 27 tahun itu juga akur sebagai insan yang sentiasa diuji, terbit kebimbangan hatinya sebagai manusia yang mudah rapuh dan berbolak-balik.

"Saya mengharapkan pengakhiran yang baik dalam hidup ini. Jujur takut juga andai tersilap percaturan, hati boleh berubah. Namun saya tidak bermaksud menidakkan apa yang salah tetap salah.

"Hati kita Tuhan yang pegang dan bila bila masa boleh tersasar. Hari ini okey, esok... jadi lain. Namun saya tak lupa berdoa memohon diri terus istiqamah.

"Doa baik-baik untuk sesuatu yang lebih manis itu tentunya jadi azimat. Tak semua akan faham apa yang dilalui kerana mereka (netizen) tidak berada di tempat kita.

"Cuma saya percaya dan berharap mereka tahu proses untuk terus istiqamah mengambil masa, berdepan cabaran dan ujian. Saya harap mereka dan peminat boleh terus menyokong," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain