suria

Raja Azura tak malu dipanggil janda, yang penting pandai jaga maruah

Raja Azura selesa dengan status sebagai seorang janda.

BERSTATUS ibu tunggal kepada tiga orang anak selama 12 tahun, pelakon Raja Azura mendedahkan dia kerap menerima pertanyaan mengenai pengganti teman hidup.

Raja Azura atau nama sebenarnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin mengakui, dia tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi kerana enggan berdepan dengan masalah keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat rindu Shiera, Raja Azura ‘buat kecoh’... ramai tanya kenapa tak jadi pengacara lagi - “Saya hanya dapat tawaran ganti orang tarik diri”

Menurut pelakon berusia 49 tahun itu, kehidupannya kini sudah cukup bahagia bersama tiga orang anaknya iaitu Megat Muhammad Raziq, Megat Luqman Hakim dan Puteri Mia Maizura.

Raja Azura

Raja Azura bahagia disamping anak-anak.

"Selalu orang tanya soalan itu (buka pintu hati). Pertama sekali saya nak tahu, sebenarnya dalam perkahwinan ini apa tujuannya? Apa misi sebenarnya? Nak teman hidup? Anak-anak macam mana?

"Adakah teman hidup boleh terima? Lepas itu nak kena kenal lagi ipar-duai lagi yang tak tahu mereka suka atau tidak dekat kita. Lagi pula kita kenal orang berduit, dah orang ingat kita ini nak harta adik-beradik dia pula.

“Jadi benda-benda macam ini saya tak suka. Sebab pengalaman yang berlaku pada hidup saya ini sudah cukup. Saya dah pernah berkahwin, dah ada tiga orang anak. Syukur dapat besarkan mereka dari kecil.

"Saya bahagia dengan anak-anak... saya tak perlu ada pasangan hidup. Orang nak pasangan hidup sebab nak kebahagian. Tapi Alhamdulillah, saya masih okay dan rezeki masih ada anak-anak," katanya kepada mStar.

Pada hakikatnya memang betul pun kita janda.

RAJA AZURA

PELAKON

Raja Azura atau mesra disapa sebagai Kak Engku ditemui ketika majlis pratonton dan sidang media filem Tiga Janda Melawan Dunia di GSC Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya pada Selasa.

Menerusi filem tersebut, Raja Azura memandang watak sebagai Kak Ani yang merupakan janda bersama dua orang rakannya iaitu Midah lakonan Khatijah Tan dan Rohayu (Normah Damanhuri).

Tidak pernah malu dengan status janda, Raja Azura memberitahu dia sentiasa menjaga nama dan maruah keluarga termasuk bekas bapa mentua.

Raja Azura

Raja Azura, Khatijan Tan dan Normah Damanhuri melakonkan watak tiga janda.

"Saya tak ada masalah dengan status janda. Pada hakikatnya memang betul pun kita janda. Bagi saya, yang penting kena jaga tertib. Kita tahu kita ini ibu tunggal, jadi kena tahu tertib sebagai seorang janda.

"Yang penting kita jaga adab sebab saya ada anak yang bersekolah dan perlu menjaga kedua-dua ibu bapa saya. Walaupun saya dah berpisah dengan bekas suami tapi masih ada bapa mentua.

"Dia tetap bapa mentua saya sampai mati. Bila kita jaga semua ini, kita dah tak kisah orang panggil janda. Saya tak pernah rasa kecil hati sebab hakikatnya saya adalah janda yang tahu jaga tertib dan maruah keluarga," ujarnya.

Untuk rekod, Raja Azura berkahwin dengan Adzmin Osman iaitu anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Haji Aroff pada Mac 2001 namun bercerai pada 28 September 2010.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain