suria

[VIDEO] Banjir kilat di Janda Baik, A. Aida syukur rumah di puncak bukit terselamat... Akan turun beri bantuan minggu ini

A. Aida kongsi video kawasan di Janda Baik dilanda banjir kilat.

PENERBIT Datuk A. Aida meluahkan rasa syukur apabila rumah persinggahannya yang terletak di puncak bukit di Janda Baik terselamat daripada banjir kilat pada pagi Rabu.

Menurut A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 51, hujan lebat yang berlaku malam Selasa membuatkan beberapa rumah penginapan milik rakan-rakannya di sekitar kawasan sungai musnah dilimpahi air.

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya linangan air mata gambarkan perasaan melihat kesan banjir di Janda Baik, A. Aida mahu teruskan bantuan di 10 lokasi lain

"Alhamdulillah, rumah saya di Janda Baik dalam keadaan baik sebab tempat saya di puncak bukit. Tapi kawan-kawan yang ada resort di tepi sungai semuanya musnah.

"Saya dapat maklumat, banjir kali ini lagi teruk dari sebelum ini. Jambatan nak ke rumah kawan saya pun musnah sampai dah tak ada laluan nak ke sana.

"Hujan lebat dari malam tadi sampai pagi. Mungkin disebabkan sungai sudah cetek, jadi tak dapat nak menampung lagi air hujan," katanya kepada mStar.

Terdahulu, A. Aida berkongsi beberapa video memperlihatkan keadaan kawasan yang dilanda banjir kilat di Janda Baik menerusi laman Instagram miliknya pada Rabu.

Insya-Allah pada 17 dan 18 Mei depan saya bersama APM akan turun untuk beri bantuan dan sumbangan.

A. AIDA

PENERBIT

Sebanyak 42 keluarga terpaksa berpindah ke lokasi selamat selepas beberapa perkampungan di Janda Baik dilanda banjir kilat akibat hujan berterusan sejak malam Selasa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 5.27 pagi dan usaha menyelamat serta memindahkan mereka yang terperangkap masih diteruskan sehingga kini.

Antara kampung terjejas teruk termasuk Kampung Sum Sum, Kampung Pulau Santap dan Kampung Chemperoh.

Dalam pada itu, penerbit drama Andainya Takdir ini memberitahu dia tidak dapat turun padang menghulurkan bantuan disebabkan urusan kerja.

A. Aida

Rumah penginapan A. Aida yang beraad di puncak bukit di Janda Baik.

Namun, A. Aida berkata dia akan ke Janda Baik bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memberi bantuan pada minggu hadapan.

"Ikutkan hati memang nak pecut pergi sana beri bantuan tapi malangnya disebabkan kekangan kerja, saya tak dapat nak turun padang lagi.

"Ramai juga yang hubungi saya mohon bantuan. Insya-Allah pada 17 dan 18 Mei depan saya bersama APM akan turun untuk beri bantuan dan sumbangan.

"Walaupun sekarang saya tak dapat nak pergi sana, tapi saya tetap ada hantar bantuan untuk penduduk di sana," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain