suria

Penyanyi Dr Wan Zawawi meninggal dunia akibat serangan jantung

Allahyarham aktif dalam bidang sosial dan alam sekitar.

PENYANYI dan penulis lirik Dr Wan Zawawi Wan Ibrahim meninggal dunia sekitar pukul 6.47 pagi Rabu akibat serangan jantung.

Allahyarham yang berusia 75 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Petaling Jaya ketika sedang bersiap-siap untuk menunaikan solat Subuh.

Berita duka itu dikongsi sendiri oleh isteri beliau, Noorshah Mohd Salleh yang memaklumkan pemergian arwah adalah secara mengejut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon Jit Murad meninggal dunia

“Baru semalam kami menonton televisyen bersama dan kami berbincang untuk membawa arwah menjalani rawatan susulan jantung. Namun, saya reda dan percaya bahawa ajal arwah sudah sampai,” ujarnya seperti yang dipetik dari Awani.

Sementara itu, berita sedih tersebut turut dikongsi oleh anak Allahyarham, Rendra Wan Zawawi menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.

“Salam... ayah saya Wan Zawawi Ibrahim baru sahaja meninggal dunia pagi ini di rumah kami di Petaling Jaya. Saya akan pulang dalam masa terdekat namun tidak akan sempat untuk menghadiri solat jenazah dan pengebumian,” ujarnya.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail untuk dimandi dan dikafankan.

Pengebumian dijangka dilakukan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Untuk rekod, Wan Zawawi yang juga merupakan seorang ahli akademik pernah aktif sebagai penyanyi dikenali menerusi lagu-lagu berkaitan isu sosial dan alam sekitar seperti Anak Kita dan Kehidupan Ini Kita Yang Punya.

Beliau juga turut menulis lagu dan bekerjasama dengan beberapa penyanyi terkenal seperti M Nasir dan Ramli Sarip.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain