GANDINGAN pelakon Anna Jobling dan Meerqeen dalam drama Melur Untuk Firdaus menerima sambutan hangat penonton apabila ramai yang memuat naik gambar dan klip kemesraan mereka berdua di media sosial. Gara-gara keserasian yang terjalin itu, ada peminat menyangka wujud cinta lokasi dan kedua-duanya serius dalam perhubungan itu. Menafikan dakwaan tersebut, Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 22, berkata sambutan hebat penonton itu membuktikan mereka berjaya menghidupkan watak sebagai pasangan suami isteri dengan baik. ARTIKEL BERKAITAN: Enggan digelar mat salih, Anna Jobling bangga mengaku orang Melaka ARTIKEL BERKAITAN: Anna Jobling sudah lali dikatakan ‘terlalu mat salih’, idam bawa watak betul-betul orang Melayu "Jika ada yang kata wujud cinta lokasi, itu bermakna kami berjaya lakukan kerja dengan baik sehingga membuatkan penonton percaya. "Tidak pernah ada cinta antara kami. Ia hanyalah lakonan dalam drama. Keserasian kami membuatkan orang ramai ingat kami bercinta," katanya kepada mStar. Sementara itu, Anna juga tidak menyangka drama tersebut turut mencuri tumpuan peminat dari luar negara seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina. Tidak pernah ada cinta antara kami. Ia hanyalah lakonan dalam drama ANNA JOBLING PELAKON Bagaikan mimpi jadi kenyataan, Anna meluahkan rasa syukur drama pertama yang meletakkan dirinya sebagai watak utama diterima baik oleh penonton. "Sebelum drama ini ditayangkan, saya memang gementar kerana ini kali pertama jadi heroin. Saya risau jika penonton tidak suka dengan lakonan saya. "Bagaimanapun apabila dapat tahu ia mendapat sambutan, saya rasa sangat bersyukur. Ini adalah rezeki, rasa macam mimpi kerana tidak percaya dengan respon penonton. Pertama kali jadi heroin, Anna terharu mendapat sambutan. "Apa lagi bila dapat tahu ada peminat dari luar negara yang suka dengan drama ini. Saya amat gembira. Mungkin mereka tidak faham tetapi suka melihat gandingan saya bersama Meerqeen. "Saya dan Meerqeen menerima banyak mesej... selain itu, gambar kami berdua juga banyak dikongsi di media sosial. "Untuk menghidupkan watak dalam drama ini, saya dan Meerqeen betul-betul berbincang sebelum memulakan penggambaran supaya wujud keserasian itu," ujarnya. Drama arahan Zamri Zakaria ini ditayangkan pada setiap Rabu hingga Ahad pukul 9 malam di Slot Lestary, TV3. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI