PENYANYI yang popular menerusi lagu Kucu-Kuca, Lia Aziz selamat bergelar isteri kepada pemain gitar kumpulan Treehill, Arash Azimi Anuar pada Sabtu. Pasangan ini disatukan dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis tertutup di Masjid Al Amin Puchong sekitar pukul 9 pagi disaksikan oleh ahli keluarga dan kenalan terdekat. Lia Aziz atau Nor Alia Farzana Abdul Aziz, 19 dan Arash Azimi sebelum itu telah mengikat tali pertunangan pada 22 Januari lalu selepas dua tahun berkenalan. Lia dan Arash mengadakan majlis pernikahan secara sederhana. Pasangan itu sama-sama bernaung dibawah syarikat rakaman yang sama iaitu Rusa Music mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang selepas mendapat persetujuan kedua belah keluarga. Berkongsi tentang majlis resepsi, pasangan ini akan mengadakan majlis mereka secara kecil kecilan dan tertutup berikutan prosedur SOP yang ditetapkan dalam langkah berwaspada bagi mengekang penularan wabak Covid-19. ARTIKEL BERKAITAN: Sudah 6 bulan bertunang, penyanyi lagu ‘Kuca-Kuca’ Lia Aziz nikah pemain gitar hari ini? Terdahulu pada malam Jumaat, Lia menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat apabila memuat naik gambar pertunanganya di Instagram. Lia turut memohon doa daripada pengikutnya agar urusan ke fasa perkahwinan dipermudahkan dan timbul desas-desus mengatakan penyanyi itu baka berkahwin pada Sabtu. Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada Januari lalu. “Alhamdulillah, satu langkah ke depan. Enam bulan lalu (bertunang). Semoga Allah permudahkan urusan untuk langkah seterusnya,” katanya. Lia sebelum ini sering berkongsi gambarnya bersama Arash di media sosial namun tidak pernah mendedahkan mereka sudah mengikat tali pertunangan. Dalam satu temubual sebelum ini, Lia memberitahu cukuplah hanya orang terdekat sahaja yang mengetahui status sebenar hubungan mereka. Sementara itu, pasangan itu akan diraikan dalam sebuah kenduri pada malam Sabtu di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI