suria

[VIDEO] Pak Nil jumpa Zamani, serah sumbangan RM120,000... Akui takut pembedahan tapi enggan bergantung ubat tahan sakit

Aznil menyampaikan sumbangan kepada Zamani bagi membantu kos rawatan pembedahan tulang belakang.

PENYANYI Zamani menjelaskan proses untuk melakukan pembedahan tulang belakang memerlukan masa memandangkan dia perlu menjalani beberapa pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.

Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 51, turut mengakui masih berasa takut untuk melakukan pembedahan tersebut kerana bimbang akan kesan sampingan yang perlu ditanggung kelak.

Bagaimanapun atas nasihat doktor, Zamani tidak menolak untuk melakukan pembedahan bagi menyembuhkan penyakit Skoliosis atau masalah tulang belakangnya itu.

"Buat masa sekarang saya perlu merujuk kepada pakar neurologi kerana ada banyak proses akan diambil kira sebelum melakukan pembedahan.

"Berdasarkan pemeriksaan X-ray dan MRI (Pengimejan Resonans Magnetik), saya difahamkan terdapat banyak kedudukan saraf sekitar kawasan tulang belakang jadi sedikit rumit untuk melakukan pembedahan," jelasnya.

Untitled design (11)

Keadaan Zamani ketika mengadakan persembahan di atas pentas.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas jumpa 3 pakar, Zamani lebih yakin jalani rawatan tulang belakang... Sebelum ini takut sebab dengar cakap-cakap orang!

ARTIKEL BERKAITAN: Hati terjentik selepas tonton video mStar... Pak Nil terkejut bangun Subuh dah kumpul RM100,000 bantu Zamani

Zamani berkongsi mengenai perkembangan kesihatannya itu menerusi rakaman video yang dimuat naik oleh pengacara Datuk Aznil Nawawi di laman Instagram.

Dalam rakaman itu, Aznil turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM122,052.93 menerusi hasil kutipan dana awam yang dilakukannya sekitar Jun lalu.

"Mereka bukan sahaja menyumbang wang ringgit, tetapi mendoakan agar kesihatan Zamani pulih. Saya sungguhnya terpanggil untuk mengadakan kutipan ini kerana memikirkan bagaimana Zamani ingin buat persembahan.

"Jadi saya lakukannya dalam diam dan bersyukur dalam tempoh yang singkat, ramai yang tampil membantu. Biarpun ada yang menyumbang 50 sen sekalipun. Penerbit Datuk A.Aida juga tampil menyumbang RM5,000. Terima kasih juga saya ucapkan kepada mereka yang membantu Zamani," kata Aznil.

TONTON VIDEO PAK NIL INI!

Sementara itu, Zamani turut memberitahu, dia ada menonton pembedahan tersebut secara dalam talian menerusi YouTube.

"Saya memang takut untuk membuat pembedahan ini. Saya juga ada melihat di YouTube dan mengakui pembedahan itu bukan sesuatu yang mudah.

"Saya juga fikir untuk melakukan pembedahan secara robotik iaitu dengan cara penebuk lubang dan masukkan besi pada tulang belakang. Tetapi, walaupun menebuk lubang, hal itu tetap satu pembedahan yang agak menakutkan," katanya.

Mengakui bukan mudah untuk membuat keputusan tersebut, Zamani bagaimanapun akur apabila penyakit yang dihidapinya semakin menjejaskan kesihatan.

Untitled design (9)

Meskipun berdepan dengan masalah kesihatan, Zamani tetap berusaha untuk memberikan persembahan terbaik.

"Kalau diikutkan saya tidak mahu membuat pembedahan, tetapi tidak ada cara lain melainkan makan ubat tahan sakit. Sampai bila harus bergantung kepada ubat dan akan menjejaskan buah pinggang.

"Sekarang saya berasa semakin tidak selesa sehinggakan sukar untuk tidur malam. Sekarang tulang semakin membengkok dan menghimpit rusuk kiri," jelasnya.

Waktu itu saya ingin segera ke tandas, berlari dan ketika itu ada air yang mengalir daripada peti ais membuatkan saya terjatuh. Saya ambil masa agak lama juga untuk bangun selepas jatuh itu

ZAMANI

PENYANYI

Penyakit tersebut mula disedari Zamani sekitar 2015 selain pernah mengakui jatuh terlentang ketika berada di rumah.

"Waktu itu saya ingin segera ke tandas, berlari dan ketika itu ada air yang mengalir daripada peti ais membuatkan saya terjatuh. Saya ambil masa agak lama juga untuk bangun selepas jatuh itu," terangnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain