suria

Yusof Haslam terkilan tak sempat bawa Mohd Noor Kadir tonton ‘Mat Kilau’... Anak pula masih ingat pesanan terakhir arwah bapa

Mohd Noor Kadir disifatkan sebagai seorang yang suka menderma dan membantu kenalan artis yang memerlukan.

INDUSTRI hiburan dikejutkan dengan berita pemergian penerbit dan pengarah drama Cinderella iaitu Mohd Noor Kadir yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Kuala Lumpur pada pagi Jumaat.

Menurut anaknya iaitu Nabila Mohd Noor, sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, arwah sempat berpesan agar dia dan lima lagi adik beradik tidak meninggalkan ibu mereka, Rabuzah Aksah sendirian.

"Semalam (Khamis) ayah berpesan kepada kami agar jangan tinggalkan mama. Dalam keadaan begitu ayah masih fikirkan keadaan isterinya yang selama ini sudah menjadi pendamping untuk sekian lama.

"Pemergian ayah ini juga berat untuk diterima kerana kami sekeluarga sedang berusaha untuk mendapatkan kaedah rawatan terbaik untuk, namun sebaliknya berlaku.

"Perasaan berat itu kerana kami berasa terkilan apabila dimaklumkan arwah penghidap kanser tahap empat agak lewat iaitu kurang dua bulan lalu. Tentu sahaja berita itu mengejutkan kerana kanser merupakan penyakit yang paling ditakuti semua orang," katanya ketika dihubungi mStar.

Untitled design (13)

Mohd Noor meninggalkan seorang isteri, enam orang anak dan tiga orang cucu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penerbit drama ‘Cinderella’ dan ‘Cinta Antara Benua’, Mohd Noor Kadir meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Adibah Noor meninggal dunia

Dalam pada itu, Nabila turut menjelaskan dia dan adik-beradik lain tidak akan membiarkan ibunya sendiri kerana empat daripada mereka tinggal bersama dengan ibu mereka.

"Sebagai anak kami akan menjalankan tanggungjawab menjaga ibu. Sebelum ini juga empat adik beradik kami tinggal bersama dengan ayah dan ibu, jadi sekiranya ingin membiarkan ibu sendiri itu mustahil.

"Kami sekeluarga akan berusaha untuk saling memberi sokongan antara satu sama lain bagi menguatkan emosi dan mental untuk melalui masa mendatang nanti," terangnya.

Sebagai anak kami akan menjalankan tanggungjawab menjaga ibu. Sebelum ini juga empat adik beradik kami tinggal bersama dengan ayah dan ibu, jadi sekiranya ingin membiarkan ibu sendiri itu mustahil

NABILA MOHD NOOR

ANAK MOHD NOOR KADIR

Sementara itu, pengarah dan pelakon, Ahmad Idham menyifatkan arwah sebagai seorang pengkarya 'genius' dan memiliki pemikiran ke hadapan.

Untitled design (12)

Yusof Haslam dan Ahmad Idham antara selebriti yang rapat dengan Allahyarham.

Katanya, Allahyarham sentiasa menjadi individu pertama yang memberinya peluang untuk memegang watak hero pertama dalam drama Cinderella dan sebagai pengarah untuk filem Mr Cinderella serta drama Tarantula.

"Arwah seorang yang sangat berjasa dalam kerjaya saya. Bayangkan sehingga ke hari ini orang ramai masih teringat kepada cerita Cinderella dan mengingati saya dengan drama itu.

"Beliau juga merupakan seorang yang berani mengambil risiko mengadakan penggambaran di luar negara. Jika penonton kata sekarang karya kita banyak dilakukan di luar negara, itu salah. Sebenarnya dahulu lagi beliau sudah melakukan perkara itu dan pada saya arwah memang genius," jelasnya.

Dalam pada itu, penerbit dan sahabat baik iaitu Datuk Yusof Haslam mengakui berasa terkilan kerana tidak berpeluang membawa arwah menonton filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

Menurutnya, arwah pernah menyuarakan hasratnya itu, namun tidak berkesempatan kerana tahap kesihatan yang merosot.

"Sudah 30 tahun kami berkawan. Saya dan beliau selalu berjumpa, kami akan minum bersama dan saling bercerita mengenai hal masing-masing. Waktu itu ada beliau mengatakan ingin menonton filem 'Mat Kilau' dan saya memang berharap sangat untuk menonton bersamanya.

"Tetapi, tidak kesampaian kerana waktu tayangan pertama itu lagi tahap kesihatan beliau agak tidak mengizinkan," jelasnya.

Perkara yang tidak boleh dilupakan apabila suatu ketika dahulu, cerita ini agak lama apabila saya mengalami masalah kewangan. Beliau dengan pantas menghulurkan bantuan yang tidak saya minta

DATUK YUSOF HASLAM

PENGARAH & PENERBIT

Yusof turut mendedahkan sikap Allahyarham yang suka membantu golongan artis atau kru produksi yang mengalami masalah kewangan.

"Sepanjang mengenali, beliau memang suka menolang orang sama ada artis, kru atau sesiapa yang susah. Beliau memang tidak hebahkan tetapi ada maklumkan kepada saya.

"Perkara yang tidak boleh dilupakan apabila suatu ketika dahulu, cerita ini agak lama apabila saya mengalami masalah kewangan. Beliau dengan pantas menghulurkan bantuan yang tidak saya minta.

"Sejujurnya saya terharu dengan sikap dermawan dan budiman beliau yang akan membantu mereka disekitarnya," terang Yusof.

Jenayah Allahyarham disempurkan di Madrasah Iktisamiah Taman Melati, Kuala Lumpur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-KARAK (Taman Selasih).

Arwah yang juga merupakan Pengarah Urusan Kuasatek Pictures Sdn Bhd meninggalkan seorang balu, enam orang anak dan tiga orang cucu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain