PENYANYI Ning Baizura sentiasa terbuka menerima kritikan serta pandangan orang ramai terhadap persembahan nyanyiannya yang dikatakan sumbang seperti dalam video tular, baru-baru ini. Kata Ning atau nama sebenarnya Ning Baizura Sheikh Hamzah, dia menyedari kebanyakan komen kritikan itu datang daripada golongan muda atau digelar Budak Budak Baru Nak Up (BBNU) yang cuba menjadi 'juri' menghakimi persembahannya itu. "Pada awalnya saya tergelak menerima pandangan sebegitu tetapi bukan bermaksud bongkak. Apa yang saya fikir mereka ini tidak tahu apa yang saya telah lalui dan jika mereka tahu mungkin mereka juga akan turut menangis. "Mereka nak panggil Scooby-Doo pun tidak mengapa, saya tidak kisah kerana selepas kejadian itu tular, Alhamdulillah saya ada banyak undangan persembahan yang meminta untuk menyanyikan lagu Awan Yang Terpilu. "Sebenarnya kalau cerita zaman dulu-dulu kontroversi yang saya lalu lebih teruk daripada ini. Jadi perkara sebegini terasa seperti gigit semut," katanya kepada mStar. Ning berkata demikian ketika ditemui di majlis Pelancaran Wonder Suit by Jovian di Tropicana Golf & Country Resorts, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. Dalam pada itu, Ning turut memberitahu dia tidak memandang serius tentang komen netizen terhadap insiden yang berlaku sebelum ini. Siti Nurhaliza antara selebriti yang memberi sokongan kepada Ning ketika dia menerima komen negatif disebabkan persembahan lagu Awan Yang Terpilu dikatakan kurang memuaskan. ARTIKEL BERKAITAN: “Cuba nyanyi 30 tahun baru kita cakap!” - Ning Baizura ingatkan netizen jangan kurang ajar kritik nyanyian sumbang "Pada saya konsepnya seperti injit-injit semua siapa sakit naik atas. Jadi pada saya dalam pepatah ini tidak payah hendak terasa dan tidak perlu untuk menunjukkan betapa sakitnya. "Lagipun tidak semua netizen itu memiliki pandangan negatif sebegini. Biarpun saya dinasihatkan tidak perlu untuk melayan karenah orang sebegini tetapi pada saya ini adalah tanggungjawab untuk menjelaskan perkara sebenar dan mengapa saya menjadi sebegitu ketika menyanyi. "Saya juga terharu dan berterima kasih kepada barisan artis yang banyak memberi sokongan. Saya pernah didatangi Datuk Seri Siti Nurhaliza yang bertanyakan bagaimana keadaan saya dan dia memberi sokongan atas apa yang berlaku. Terima kasih," terangnya. Sebenarnya kalau cerita zaman dulu-dulu kontroversi yang saya lalu lebih teruk daripada ini. Jadi perkara sebegini terasa seperti gigit semut NING BAIZURA PENYANYI Menjelaskan kembali insiden 'sumbang' berkenaan, Ning mengakui dia terlalu sebak dan terikut emosi ketika menyanyian Awan Yang Terpilu kerana lagu itu terlalu dekat dengan arwah bapanya. "Sepanjang 30 tahun dalam industri, arwah tidak pernah sekali berpeluang untuk melihat persembahan saya. Jadi tidakkah perkara itu satu hal yang menyedihkan," katanya. Dalam pada itu, Ning turut memaklumkan bakal mengadakan konsert pada tahun hadapan sempena meraikan 30 tahun penglibatannya sebagai penyanyi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI