MERESTUI penglibatan anak lelaki terjun dalam bidang hiburan, pelakon Abby Abadi bagaimanapun memberitahu dia sentiasa mengingatkan Mohamed Danish Hakim supaya tidak leka dan menjaga hubungan baik dengan Allah. Menurut Abby atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan, 45, pengalamannya bergelar seorang selebriti sedikit sebanyak membuatkan dia bimbang jika anak sulungnya itu mengulangi kesilapan sama seperti mana Abby pernah lakukan sebelum ini. "Pada awalnya memang saya tidak melihat anak-anak saya akan terlibat dalam dunia seni, namun apabila dia ada minat ke arah itu saya tidak menghalang. Danish mula ikut jejak langkah bapanya terjun ke dunia seni. "Saya selalu nasihatkan dia supaya jangan melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Sentiasa menjaga hak Allah dan tahu batas dalam dunia lakonan. Saya tidak mahu dia ulang kesilapan yang pernah saya buat sebelum ini. "Ketika berlakon dahulu saya pernah terleka dan saya tidak mahu ia terjadi kepada anak-anak," katanya ketika dihubungi mStar pada Rabu. Danish, 19, merupakan anak lelaki pertama hasil perkahwinan Abby bersama aktor Norman Hakim. Pemuda kacak itu merupakan seorang daripada 12 peserta program pencarian bakat Fit For Action yang bakal bersiaran di TV3 pada 3 September depan bermula pukul 10 malam. ARTIKEL BERKAITAN: Norman Hakim, Abby Abadi rai bersama kejayaan anak hafaz Al-Quran ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh cuba dekati Norman Hakim, suami Abby Abadi tak cemburu... Sudah biasa bergurau, tahu jaga batas Melihat latar belakang anaknya yang pernah mengikuti pengajian hafazan di Turkiye pada usia 14 tahun, Abby berharap Danish dapat menyampaikan mesej baik kepada penonton dan memberi manfaat kepada masyarakat. "Ramai yang anggap seorang yang ada latar belakang agama tidak boleh masuk dalam dunia hiburan. Perkara tersebut harus diubah! Siapa tahu dengan ilmu yang dimiliki Danish dia boleh membawa orang lain untuk sama mendekati agama. "Bukan satu kesalahan besar jika seseorang yang ada pendidikan agama terjun ke dunia seni kerana kalau pandai bawa diri, kerjaya apa sekali pun ia tidak ada sebarang masalah," jelasnya. Siapa tahu dengan ilmu yang dimiliki Danish dia boleh membawa orang lain untuk sama mendekati agama ABBY ABADI Sementara itu, menerusi Instagram bapanya iaitu Norman, aktor itu turut mengingatkan Danish supaya cekal dan kuat menghadapi cabaran sebagai seorang anak seni. "Jangan cepat 'koyak'. Sekali jatuh, bangkit 100 kali. Kita lelaki kena kuat dan kental. Kalau rasa down, bagi 30 saat untuk rasakan itu, kemudian terus tarik nafas dan lawan semula. "Setinggi mana kita terbang, jangan sesekali lupa tanah asal usul kita. Ikut resam padi, makin tunduk, makin pada isi," tulisnya. Dalam pada itu Danish dalam satu kenyataan seperti dilaporkan media berkata, penglibatannya dalam industri seni mendapat sokongan ibu bapanya. Norman turut menasihati Danish supaya sentiasa kuat. Dia bagaimanapun memegang teguh prinsip tidak bersentuhan dengan pelakon wanita ketika berlakon. “Saya dah jelaskan kepada pihak produksi bahawa saya tak boleh buat babak-babak bersentuhan. Orang tahu latar belakang saya sebagai pelajar agama, jadi saya perlu menjaganya. “Tapi andai kata saya perlu juga berlakon babak bersentuhan, saya akan minta bantuan kru atau pengarah untuk mengajar saya teknik kamera dan sebagainya. “Selain itu, saya juga jelaskan kepada mereka bahawa saya perlu terus menunaikan solat apabila masuk waktu,” katanya seperti dipetik sebagai berkata. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI