BEKAS vokalis kumpulan Exists iaitu Mamat masih menjalani proses pemantauan dan mengikuti pelbagai program yang dianjurkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi memastikan dia dalam keadaan 'bersih' daripada najis dadah. Mamat atau Mohd Ali Kamarudin, 44, bagaimanapun memberitahu pemantauan oleh AADK tidak terlalu ketat seperti kebiasaan memandangkan dia mempamerkan perubahan positif sejak menjalani rawatan di Persatuan Pengasih Malaysia pada 2019. "Saya masih lagi dalam pemantauan dan mengikuti program yang dianjurkan oleh AADK. Pihak agensi akan memaklumkan sekiranya ada sebarang aktiviti dan saya akan turut serta. "Alhamdulillah saya juga masih aktif dengan aktiviti seni tetapi perlu memaklumkan kepada pihak agensi berhubung jadual kerja kerana saya tidak boleh bergerak bebas seperti biasa. Mamat berjanji akan memberikan persembahan terbaik pada konsert November ini. "Saya pun sebenarnya kalau hendak 'lari' memang tak boleh kerana sebagai selebriti yang dikenali mereka tentu akan tahu keberadaan saya," katanya kepada mStar. Mamat ditemui pada sidang media Konsert Resolusi Exists yang diadakan di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur pada Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Kongsi sambutan parti bachelorette, peminat jangka Sharifah Amani akan berkahwin dalam masa terdekat ARTIKEL BERKAITAN: Kutip RM8 juta dalam 4 hari, ‘Air Force The Movie: Selagi Bernyawa’ bakal masuk pawagam Korea Selatan, Jepun dan Taiwan Konsert itu bakal berlangsung pada 18 November 2022 di Zepp Kuala Lumpur. Mengulas lanjut mengenai keadaannya, Mamat memberitahu dia fokus dengan proses pemulihan kerana mahu menjalani kehidupan lebih baik seperti orang lain. "Saya sudah berumur 40 tahun lebih. Apa yang saya mahukan adalah menjalani kehidupan dengan lebih baik pada masa akan datang," jelasnya. Dalam pada itu, mengulas mengenai persediaan konsert, Mamat berkata, ketika ini dia banyak membuat latihan vokal selain berinteraksi di hadapan cermin berlatih berkomunikasi dengan penonton. Exists bakal menghiburkan peminat November depan. Mamat juga berjanji akan memberikan persembahan terbaik memandangkan tahap kesihatannya berada pada tahap baik. "Apabila dimaklumkan untuk mengadakan konsert, saya tidak fikir panjang dan terus bersetuju. Penampilan kali ini juga saya ingin peminat melihat saya sebagai artis, anak seni dan pengkarya. Saya mahu peminat lihat saya sudah berubah," ujarnya. Tiket konsert anjuran ImagineX itu dijual pada harga RM190 (Bronze), RM230 (Silver), RM290 (Gold), RM330 (Platinum) dan RM800 (Box meet & greet) di www.ticket2u.com.my. Untuk rekod, Mamat ditahan pada 8 September 2019 ketika menaiki motosikal di Taman Perling, Johor Bahru bersama seorang rakan kerana memiliki sejumlah dadah jenis syabu. Selepas mengadakan konsert Exists Reunion di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 September 2019, Mamat menjalani rawatan di Persatuan Pengasih Malaysia. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI