suria

Dapat sentuhan Kabir Bhatia, drama bersiri 366 ‘Hari Ke-243’ PETRONAS semarak semangat perpaduan rakyat Malaysia

Drama bersiri arahan Kabir Bhatia ini turut menampilkan pemain bola sepak kebangsaan Safee Sali.

BERSEMPENA dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, PETRONAS melancarkan episod kelima drama bersiri 366 iaitu Hari Ke-243 dalam usaha menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Mendapat sentuhan pengarah tersohor, Kabir Bhatia, Hari Ke-243 menampilkan subjek bola sepak sebagai tema dan menjadi salah satu sukan paling dekat di hati dan menyatukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Lebih menarik lagi, ia buat pertama kali menampilkan semua watak bagi drama 366 dalam satu episod.

Hari Ke-243 mengisahkan tentang satu pasukan bola sepak yang berjuang memenuhi impian mereka untuk bergelar juara menerusi pertandingan Pesta Bola Malaysia.

Pix 2

Semangat perpaduan yang dipamerkan dalam Hari Ke-243 memberi banyak pengajaran kepada penonton.

Ia menceritakan tentang perjalanan pelbagai watak berlainan latar belakang serta generasi yang bersatu berdepan dengan pelbagai halangan dan rintangan demi mengejar sebuah impian.

Menerusi drama bersiri itu juga, penonton dapat melihat bagaimana mereka menggunakan kepintaran dan kesitimewaan sebagai masyarakat majmuk di Malaysia dalam mengatasi setiap halangan di hadapan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: PETRONAS tampil kelainan, ‘366’ angkat tema perayaan di Malaysia

Episod kelima ini mengisahkan tentang seorang jurulatih bola sepak iaitu Vikram yang juga seorang pemandu bas tercedera dalam kemalangan bas dari episod pertama, sehingga menyebabkan dia tidak dapat meneruskan latihan bersama pasukannya.

Namun kemalangan yang menimpa Vikram tidak dijadikan alasan oleh pasukannya untuk berpeluk tubuh malah watak Poji bersama rakan-rakannya tetap berkumpul dan menyokong Vikram bagi memastikan mereka menggapai impian.

Pix 4

Salah satu babak dalam Hari Ke-243.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata, pihaknya berharap episod kali ini dapat menaikkan semangat perpaduan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Kata Anita, kisah yang diketengahkan dalam 336 'Hari Ke-243' dapat menjentik hati penonton tentang kepentingan bekerja dalam pasukan demi menggapai sebuah impian.

"Kami berharap episod kali ini dapat menyemarakkan semangat perpaduan dalam diri kita semua untuk mengejar impian dalam sebuah pasukan.

"Pihak PETRONAS juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas sokongan mereka untuk siri 366 dan menyokong dua episod terakhir drama bersiri ini," katanya.

Drama bersiri 366 'Hari Ke-243' kini boleh ditonton di semua saluran media sosial PETRONAS bermula 29 Ogos 2022.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain