suria

Tiada rundingan luar mahkamah, 32 ahli Prism saman Prism Berhad tuntut wang royalti 

Sidang media berhubung tuntutan royalti daripada Prism Berhad diadakan pada Selasa.

SERAMAI 32 penggiat seni tanah air yang terdiri daripada penyanyi dan pemuzik memafailkan satu notis usul berserta afidavit bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memfailkan saman isu tuntutan pembayaran royalti daripada Prism Berhad.

Peguam daripada Tetuan Kamaruzaman Arif & Sofiah iaitu Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif menjelaskan tindakan itu adalah untuk mendapatkan satu pengisytiharan terhadap wang royalti yang dikutip oleh pihak Prism Berhad yang didakwa gagal diagihkan kepada ahli semenjak 2017 hingga 2021.

"Semenjak 2017 sehingga 2021, tiada sebarang pengagihan dibuat kepada artis-artis ini sehingga kini walaupun sudah beberapa kali diminta berbuat demikian.

"Sepatutnya mengikut perlembagaan Prism Berhad, bayaran royalti perlu diagihkan setahun sekali.

Jamal

Jamal antara 32 penggiat seni yang menuntut haknya.

"Tindakan ini adalah untuk mendapatkan satu pengisytiharan terhadap wang royalti yang dikutip," katanya.

Kamaruzaman berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Shah Alam pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertama kali diadakan, Faztival Fazura dapat 2 pengiktirafan Malaysia Book of Records

ARTIKEL BERKAITAN: Sejak kecil Ernie Zakri berangan pegang trofi AIM, kemenangan ‘Goodbye Hello’ detik paling manis

Terdahulu, firma guaman berkenaan telah memfailkan notis usul dan afidavit berkenaan di mahkamah pada 9 September lalu.

Dalam pada itu, Kamaruzaman berkata, menerusi tuntutan itu, pihaknya turut ingin mengetahui berhubung wang kutipan yang tidak diagihkan dengan betul selain individu terlibat yang tidak melakukan agihan dengan betul.

"Ini baru langkah pertama. Kita mahu mengesan ke mana perginya duit tersebut, mengapa ia tidak diagihkan.

Agensi yang diamanahkan dilihat gagal untuk mengagihkan royalti dalam tempoh lima tahun tersebut. Jalan penyelesaian terbaik adalah di mahkamah.

DATUK KAMARUZAMAN MUHAMMAD ARIF

PEGUAM TETUAN KAMARUZAMAN ARIF & SOFIAH

"Sekiranya wang itu sudah habis, ke mana ia dibelanjakan, siapa yang mengawal selia selain adakah perbelanjaan itu sah dari segi undang-undang.

"Kami juga ingin tahu bagaimana pengiraan royalti dibuat dan sistem apa digunakan," jelasnya.

Sementara itu, Kamaruzaman berkata, pihaknya turut menolak sekiranya pihak defendan terlibat dengan isu royalti tersebut ingin menyelesaikan di luar mahkamah.

Katanya, kaedah perundangan di mahkamah bagi mendapatkan pencerahan dan jawapan adalah paling baik kerana plaintif mahu menuntut hak mereka dikembalikan.

"Agensi yang diamanahkan dilihat gagal untuk mengagihkan royalti dalam tempoh lima tahun tersebut. Jalan penyelesaian terbaik adalah di mahkamah.

"Ini bukan perjuangan 32 ahli yang bersetuju memfailkan notis usul dan afidavit tetapi ia mampu memberi manfaat kepada 1,632 ahli Prism Berhad yang lain," ujarnya.

Antara 32 penggiat seni yang terlibat adalah Datuk Jamal Abdillah, Datuk DJ Dave, Datuk J Sham, S. Atan, Aris Ariwatan, Ibnor Riza, Azharina, Ezlynn, Julian Blues Gang dan Renggo Arrow.

Turut memfailkan usul itu adalah Ali Terra Rossa, Ajin Blackrose, Norshila Amin, Nai Dinamik,Beego, Razis Ismail dan Leina Hangat.

Untuk rekod, konflik royalti itu tercetus selepas berlaku pertikaian perundangan di antara Public Performance Sdn Bhd (PPM), Recording Industry Malaysia (RIM) dan Prism Berhad.

Akibatnya Prism Berhad digulungkan melalui perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2018 yang mengakibatkan segala urusan pentadbirannya dikawal selia Jabatan Insovensi Malaysia (MDI).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain