suria

Selepas 2 tahun industri seni lumpuh, bajet RM177 juta daripada kerajaan bagai kejutan

Pekerja industri seni menyambut baik peruntukan yang diberikan kerajaan dalam bajet kali ini.

PERUNTUKAN sebanyak RM177 juta oleh kerajaan bagi meningkatkan pembangunan sektor industri kreatif menerusi pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat disambut baik penggiat seni tempatan.

Ahli Lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan penerbit drama, Datuk A. Aida berpendapat bajet yang diumumkan adalah peluang pemain industri menghasilkan lebih banyak karya berkualiti dan bermutu seperti Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

"Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Malaysia serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa kerana memperuntukkan dana yang besar buat penggiat seni negara.

"Seluruh warga industri bersyukur dengan berita gembira ini dan bagi saya sendiri ia istimewa kerana menunjukkan sokongan dan komitmen kerajaan dalam melihat industri seni terus berkembang maju," katanya kepada mStar.

aa

A Aida menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Annuar Musa.

Apatah lagi kata Aida, selepas dua tahun industri seni tempatan lumpuh akibat pandemik Covid-19, ramai penggiat seni hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

Bajet yang diumumkan itu katanya, dapat membantu pekerja industri bangkit semula dengan pelbagai inisiatif diperkenalkan dalam pembentangan berkenaan.

"Selama dua tahun industri seni kita lumpuh kerana pandemik, inilah masanya mereka bangkit semula dalam menghasilkan karya lebih berkualiti," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mat Kilau jadi benchmark! Kerajaan umum dana RM50 juta terbit filem kenegaraan

ARTIKEL BERKAITAN: Kos RM20 juta, ‘Malbatt Misi Bakara’ jadi filem termahal Malaysia

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London pula menyifatkan peruntukan tersebut sebagai kejutan buat penggiat seni.

Mat London berkata, dana RM50 juta yang dikhaskan untuk Dana Khas Kandungan Kreatif Kenegaraan (DEKAN) dilihat dapat menjadi titik permulaan bagi meningkatkan semangat pemain industri dalam menghasilkan naskhah berkualiti.

"Walaupun jumlahnya tidak terlalu besar tetapi bagi saya ia cukup mengejutkan kerana ia mampu menjadi titik permulaan kepada pengkarya untuk tampil dengan karya lebih bermutu," katanya.

Perkara sama turut diluahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU, Datuk Norman Abul Halim yang menyifatkan dana RM50 juta itu adalah langkah terbaik kerajaan.

norman

Norman turut berkongsi rasa gembira menerusi pembentangan Bajet 2023.

"Ini adalah berita gembira buat penggiat seni atas usaha kerajaan memperuntukkan dana menerusi DEKAN sebanyak RM50 juta.

"Insya Allah, negara kita dapat memperbanyakkan lagi karya-karya khusus berkaitan sejarah negara sekali gus menyemarakkan jati diri dalam kalangan penonton," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi menyifatkan potongan cukai bagi sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan dibawah Finas adalah antara terbaik pernah diterima industri seni.

Tidak hanya itu, Zed turut melihat peruntukan 80 peratus caruman bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah penting bagi membolehkan penggiat seni melindungi diri mereka.

file6tomsrjhviqq3hadea2

Zed Zaidi turut berasa gembiran dengan peruntukan bajet yang diterima industri kreatif.

"Seniman sebagai ejen korporat untuk Perkeso sangat gembira dengan pengumuman ini kerana ia adalah salah satu cara anak seni mencarum dalam Perkeso.

"Kalau kita lihat dari tahun lalu, Seniman sudah memperjuangkan perkara ini dan Alhamdulillah akhirnya kerajaan memberi inisiatif untuk memberi perlindungan sebanyak 80 peratus," katanya.

Perkara itu kata Zed sudah tentu hasil usaha Pengerusi Finas, Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang telah banyak membawa sinar baharu buat anak seni tempatan.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan lima inisiatif buat sektor industri kreatif, termasuklah;

1. Peruntukan Dana RM50 juta untuk Dana Khas Kandungan Kreatif Kenegaraan (DEKAN).

2. Peruntukan Dana Kandungan Digital sebanyak RM102 juta.

3. Potongan cukai sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah FINAS.

4. Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran.

5. Perlindungan 80 peratus caruman ditanggung kerajaan menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk penggiat seni Finas yang hanya perlu membayar 20 peratus sahaja.

Gembira dengan peruntukan itu penggiat seni menzahirkan rasa bangga terhadap Annuar kerana menjadi menteri yang benar-benar mengambil berat masalah penggiat seni.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain