suria

Forum ‘bedah siasat’ isu rupa atau bakat, Noorkumalasari setuju penonton nak tengok yang cantik... “Memiliki kedua-duanya adalah anugerah”

Noorkumalasari anggap rupa dan bakat adalah satu pakej lengkap.

ISU pemilihan pelakon berdasarkan paras rupa dan bukannya bakat seperti pernah dibangkitkan oleh produser Datuk A. Aida sebelum ini masih lagi hangat diperkatakan dalam kalangan penggiat seni tanah air yang mempunyai pelbagai pandangan berhubung pendapat berkenaan.

Sehubungan dengan itu, satu forum bertajuk Antara Cantik dan Bakat? Di Manakah Pengukuh Kredibiliti? diadakan pada Isnin bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menggupas mengenainya dengan lebih mendalam.

Pelakon Sharifah Rose yang menjadi salah seorang panel forum tersebut berpendapat memiliki rupa paras dan penampilan menarik boleh membuka jalan kepada individu yang ingin menceburkan diri dalam bidang seni.

Bagaimanapun katanya, itu bukan bererti pendatang baharu hanya perlu bersandar kepada rupa sebaliknya perlu mengambil inisiatif untuk belajar dan menimba pengalaman agar rupa dan bakat bergerak seiring.

forum 4

Md. Nasir dan Yusof berkongsi pendapat mereka tentang pemilihan pelakon.

"Pada awal pembabitan dalam industri saya sangat bimbang sebab tiada pengalaman tetapi tetap mahu mencuba. Bagi saya benar rupa boleh menjadi pembuka jalan namun perlu ada inisiatif untuk belajar.

"Saya sendiri pernah dilabel ‘kayu’. Kritikan itu saya jadikan sebagai pembakar semangat dan manfaat untuk perbaiki diri,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bakat boleh asah, paling penting wajah cantik dan kacak” - A. Aida cari pelakon baharu, ajak orang ramai datang uji bakat di Ekspresi@Finas

ARTIKEL BERKAITAN: Fadzil Teh senada dengan A. Aida, pilihan pelakon bukan kuasa penerbit tapi stesen TV

Forum ini merupakan anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dalam usaha menyemarakkan sambutan Festival Filem Malaysia ke 32 (FFM32) yang bakal disambut 2 Disember depan.

Ia di adakan Pusat Pengajian Media & Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Turut tampil sebagai panel program itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof. Dr. Md Nasir Ibrahim, pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam serta pelakon Noorkumalasari dan Hariz Hamdan.

Pelakon dan pengacara Fahrin Ahmad pula bertindak sebagai moderator forum tersebut.

Cantik itu boleh dilihat menerusi watak yang disampaikan.

NOORKUMALASARI

PELAKON

Sementara itu, pelakon veteran Noorkumalasari memberitahu ketika dia menceburi bidang lakonan sekitar era 1970-an, rupa paras dan penampilan penting kerana ia merupakan kehendak penonton.

Bagaimanapun katanya, jika seseorang pelakon itu mempunyai bakat besar, istilah cantik atau kacak dapat diterjemahkan menerusi kualiti lakonan yang dipersembahkan.

"Penonton mahu lihat rupa dan bakat, jadi memang tak boleh dinafikan seseorang pelakon itu perlu ada penampilan menarik. Memiliki kedua-duanya juga adalah satu anugerah.

"Sebenarnya seorang pelakon yang kurang dari segi paras rupa tapi ada bakat besar masih boleh memegang peranan utama. Lihat bagaimana Hollywood ketengahkan bakat mereka. Cantik itu boleh dilihat menerusi watak yang disampaikan," jelasnya.

forum 1

Program turut dihadiri pelajar pengajian Komunikasi & Media, UKM.

Sementara itu, Hariz berpendapat bakat adalah aspek utama yang membolehkan seseorang pelakon itu kekal relevan dan terus mendapat perhatian syarikat produksi.

Dalam masa sama, Hariz berkata, penilaian rupa paras itu adalah subjektif dan terpulang kepada cita rasa seseorang untuk menentukan sama ada seseorang pelakon itu menawan atau sebaliknya.

"Soal wajah itu sangat subjektif, ada orang kata saya kacak dan ada pula tidak setuju. Semua itu terpulang kepada cita rasa masing-masing.

"Kalau pilih pelakon cantik, lebih baik ambil model berlakon. Bagi saya tugas penting adalah menjayakan watak diberikan di hadapan kamera. Bakat yang akan membawa seorang pelakon itu maju ke hadapan dan kekal relevan," kongsinya.

Forum itu turut dihadiri Pengerusi Finas, Senator Datuk Seri Zurainah Musa, Datuk A. Aida, Ketua Kluster Komunikasi Pusat Pengajian Media & Komunikasi UKM, Dr Ammar Redza Ahmad Faizal serta presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain