PENYANYI Zaiton Sameon kini pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Pengarah JKM Wilayah Persekutuan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, Zaiton menerima kelayakan bagi OKU fizikal selepas disahkan doktor mengalami keadaan dipanggil traumatic brain injuries atau trauma kecederaan otak. "Status OKU bukan hanya diberikan kepada individu yang mempunyai kecacatan fizikal malah sesiapa yang mempunyai masalah ingatan juga boleh memohon. "Seperti kes Zaiton, dia masuk dalam kategori OKU fizikal yang telah disahkan oleh doktor sebagai trauma kecederaan otak," katanya kepada mStar. Zaiton kini memegang status OKU. Che Samsuzuki ditemui pada majlis penyerahan kad OKU kepada Zaiton yang diadakan di pejabat JKM, Kuala Lumpur pada Isnin. Untuk rekod, Zaiton pernah terbabit dalam kemalangan ngeri pada 1990 dan meragut nyawa anak lelakinya iaitu Allahyarham Azirwan Abu Bakar yang ketika itu baharu berusia 13 tahun. Akibat insiden itu, Zaiton mengalami gangguan emosi yang teruk selain masalah hilang ingatan. ARTIKEL BERKAITAN: Rendang Nasib bantu hidup Zaiton Sameon, sedih orang masih ingat lupa ingatan ARTIKEL BERKAITAN: [V] Bertanding dalam kesakitan akibat sakit sendi, Asheed (Def Gab C) kagum dapat bertahan 9 minggu dalam GV Dalam pada itu, Zaiton, 66, bersyukur menerima kad berkenaan kerana ia membolehkannya memohon bagi mendapatkan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR). Ketika ini kata penyanyi lagu Menaruh Harapan itu, dia terpaksa membayar sewa rumah sebanyak RM800 di Bukit Indah, Ampang dan sukar memohon kediaman PPR ekoran tidak mempunyai pendapatan tetap. "Sebelum ini saya ada mohon rumah PPR tapi gagal atas alasan tiada pendapatan tetap. Sedih orang lain dapat tapi saya tak. Saya tiada rumah, tiada harta, tiada anak dan ibu bapa. ZAITON SAMEON PENYANYI "Mentang-mentanglah saya 'cacat otak' ada orang pandang serong sampai kata saya tak boleh menyanyi. Itu semua tak benar sebab lagu Inggeris punya saya boleh menyanyi dengan baik. "Alhamdulillah, dengan adanya kad ini, saya berpeluang memohon PPR dan mempunyai rumah sendiri," katanya. Berkongsi mengenai keadaan dirinya, Zaiton bersyukur kerana dia dijaga baik oleh anak angkatnya, Che Sikah Ismail, 50 sejak 11 tahun lalu. Mengakui dirinya kini sudah tidak mempunyai siapa-siapa dan enggan membebankan adik-beradik lain, Zaiton lebih selesa tinggal bersama anak angkatnya itu. Zaiton menerima kad OKU daripada JKM. "Saya sudah hilang semuanya... Saya tiada rumah, tiada harta, tiada anak dan ibu bapa. Walaupun saya mempunyai adik-beradik, tetapi saya tidak mahu menganggu mereka. "Kini saya tinggal bersama anak angkat. Kami bertemu pada 2010 di Johor Bahru ketika saya menyanyi di sebuah restoran. Kebetulan, Ikah juga anak yatim piatu, jadi dia memanggil saya ibu," jelasnya. Malah segala kebajikan dan urusan undangan nyanyian turut diuruskan oleh Che Sikah bagi pihaknya. Tidak hanya itu, Zaiton kini giat menjalankan perniagaan 'Rendang Nasib' bagi menjana pendapat sampingan. "Alhamdulillah dengan berniaga ini dapatlah saya sedikit pendapatan bagi menampung keperluan harian," ujarnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI