suria

Dua tahun tanggung malu, pelakon Shah Hazvee akhirnya bebas tuduhan pikat isteri orang untuk buat seks

Shah lega kes mahkamah selesai.

LEBIH dua tahun menanggung malu akibat didakwa memikat isteri orang dengan tujuan melakukan hubungan seks, kini pelakon Shah Radhi Hazvee mampu menarik nafas lega apabila dia didapati tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Mahkamah Majistret Ampang pada Isnin membuat keputusan tersebut dan membebaskan Shah, 26, daripada pertuduhan berkenaan.

"Selepas lebih dua tahun tertangguh dan sembilan kali turun naik mahkamah, akhirnya kes ini selesai. Saya amat bersyukur atas keputusan yang telah dibuat sekali gus membuktikan saya tidak bersalah.

shah hazvee 3

Shah ketika didakwa di mahkamah pada Mei 2020.

"Alhamdulillah doa saya dan ibu selama ini termakbul. Apa yang berlaku menjadi satu pengajaran buat saya supaya lebih berhati-hati," katanya ketika dihubungi mStar.

Shah sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu Kelakuan Aib.

Pelakon drama Monalisa dan Hero itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di No 28 Jalan SU 2C, Taman Sering Ukay, Hulu Klang kira-kira pukul 8 malam, pada Mei 2020.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon baharu Shah Radhi Hazvee dituduh pikat isteri orang dengan niat untuk melakukan hubungan seks

ARTIKEL BERKAITAN: “Selepas dia selesai reman, baru kami boleh bagi kenyataan” - Pelakon drama Monalisa akan kongsi kisah sebenar

Shah ditahan di lokap Balai Polis Ampang Jaya selama tiga hari sebelum dibebaskan dengan ikan jamin sebanyak RM2,300 ketika itu.

Pelakon itu diwakili peguam, Harcharanjit Singh.

Meskipun bebas dari pertuduhan berkenaan, Shah sedar isu ini akan terus menjadi buah mulut orang ramai dan pastinya namanya akan terus dikaitkan dengan dakwaan melakukan perbuatan sumbang.

Apa yang berlaku menjadi satu pengajaran buat saya supaya lebih berhati-hati

SHAH RADHI HAZVEE

PELAKON

"Realiti dalam kehidupan sebenar kita memang tidak boleh lari dari melakukan kesilapan, tetapi saya bukanlah terlalu jahat sampai sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu.

"Kalau orang mahu terus bercakap biarkanlah. Mahkamah telah putuskan saya tidak bersalah. Itu lebih penting buat saya kerana sejak awal lagi saya yakin tidak bersalah dan biar pihak berkuasa menentukan.

"Sekarang ini tak perlu lagi nak pandang belakang dan lebih baik saya fokus kepada kerjaya," ujarnya.

shah hazvee 2

Shah harap tiada lagi tanggapan buruk terhadap dirinya.

Sepanjang kes itu berjalan di mahkamah, Shah mengakui berasa malu dan namanya terjejas sehingga ada segelintir pihak produksi enggan memberinya tawaran berlakon.

Tidak menyimpan dendam dengan persepsi buruk orang sekeliling, Shah berharap namanya akan kembali bersih selepas ini.

"Memang betul sebelum ini nama saya pernah ditolak dalam senarai pelakon ketika kes ini belum selesai namun saya tidak pernah berkecil hati.

"Bagaimanapun saya harap selepas ini segala dakwaan atau kata-kata buruk tentang saya akan hilang," luahnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain