PELAKON Alif Muhaimin tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata apabila mendapat perkhabaran ibu tersayang, Faridah Sheikh Mohamed terperangkap dalam rumah mereka yang dijilat api pada petang Isnin. Alif atau Alif Muhaimin Abdul Rahman, 28, berkata, ketika kejadian ibunya berseorangan di rumah sebelum menghantar mesej di grup WhatsApp keluarga memaklumkan kediaman mereka di Kelana Jaya terbakar kira-kira pukul 3.50 petang. Sebaik mendapat berita itu, Alif dan adik-beradik lain yang sedang berada di luar rumah bergegas pulang bagi menyelamatkan ibu mereka yang terperangkap. "Ketika mendapat tahu ibu terperangkap dalam rumah, siapa yang tak risau apatah lagi kami adik-beradik tiada di rumah ketika kejadian. "Kami terima mesej daripada ibu yang minta telefon bomba kerana rumah mengalami kebakaran. Alhamdulillah dalam masa 30 minit, bomba sampai dan berjaya memadamkan kebakaran," katanya kepada mStar. Keadaan rumah Alif yang terbakar. Bercerita lanjut mengenai insiden itu, Alif memberitahu adik perempuannya yang tiba lebih awal nekad memanjat pagar di bahagian samping rumah untuk mencari kunci dan menyelamatkan ibu mereka yang terperangkap. Akibatnya, adiknya Hazirah Abdul Rahman melecur di bahagian tangan namun lega dapat membawa keluar ibu mereka yang ketika itu sudah tidak bermaya dan trauma. "Mujur adik-beradik saya sampai dahulu ke rumah dan Hazirah terus masuk ke dalam. Disebabkan itu tangannya melecur daripada pergelangan tangan sehingga ke bawah siku. ARTIKEL BERKAITAN: Baru umum rancang kahwin tahun depan, Alif Muhaimin sedih ditinggal kekasih hanya melalui WhatApps ARTIKEL BERKAITAN: Seram! Katil Alif Muhaimin bergegar ketika tidur dengan kawan - "Terus kami tutup muka takut diganggu" "Saya terpaksa angkat ibu kerana dia sudah tak bermaya dan berada dalam keadaan trauma. Alhamdulillah ibu tak mengalami sebarang kecederaan cuma terkejut selain risau di mana kami sekeluarga akan tinggal selepas ini," ujarnya. Berkongsi mengenai kejadian, Alif berkata, kebakaran itu berlaku dipercayai berpunca daripada litar pintas ketika hujan lebat berserta kilat pada petang semalam. Jelas Alif, hampir keseluruhan rumahnya dijilat api dan turut memberi kesan kepada beberapa buah rumah jirannya namun terselamat daripada dijilat api. "Kebakaran itu berkemungkinan besar disebabkan litar pintas ketika petir petang semalam. Tambahan pula, barang banyak di rumah menjadikan api marak dengan lebih cepat. Saya angkat ibu kerana dia sudah lemah dan terkejut dengan apa yang berlaku. ALIF MUHAIMIN PELAKON "Beberapa buah rumah jiran juga terkesan dengan kebakaran itu apabila dinding rumah mereka menjadi hitam akibat asap tebal tetapi Alhamdulillah jiran-jiran semua selamat dan banyak membantu," jelasnya. Sementara itu, Alif berkata, kerugian akibat kejadian itu masih belum dikenal pasti namun banyak barang peribadi musnah menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang. "Barangan peribadi seperti komputer riba, perabot semuanya musnah... memang sayang dan boleh dikatakan kami tinggal sehelai sepinggang. "Apa merisaukan saya, rumah itu sudah tiada insurans kerana pinjaman bank sudah lama dilangsaikan. Saya kini dalam usaha menguruskan beberapa perkara dan minta bantuan," katanya. Alif reda dengan ujian yang menimpanya sekeluarga. Bagaimanapun, pelakon Setelah Terlafaznya Akad ini sentiasa positif dan menganggap apa yang berlaku kepada mereka sekeluarga ada hikmah yang menanti. "Alhamdulillah, kami sekeluarga reda kerana percaya ada hikmah di sebaliknya... Mungkin Allah nak gantikan rumah yang lebih baik. "Cuma saya mohon agar orang ramai doakan urusan kami semua dipermudahkan. Buat masa ini, kami sekeluarga menumpang di rumah kawan abang saya," jelasnya. Untuk rekod, Alif mula dikenali selepas menjadi juara Hero Remaja 2017 dan kini bergelar seorang pelakon. Antara lakonan pelakon ini termasuk Tak Ada Cinta Sepertimu, Sara Sajeeda, Angkara Cinta dan Sentuhan Najwa. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI