suria

Shila Amzah luah kisah kegagalan cinta dan rumah tangga dalam ‘Jauh Hati’… “Sejujurnya semua hubungan saya teruk”

Lagu Jauh Hati dicipta berdasarkan pengalaman sendiri.

BERKONGSI pengalaman hidup, penyanyi Shila Amzah tampil dengan lagu terbaharu berjudul Jauh Hati berkisahkan tentang keperitan dalam perhubungan yang pernah dilalui olehnya sebelum ini.

Menurut Shila atau nama sebenarnya NurShahila Amir Amzah, 32, lirik lagu berkenaan ditulis pada 11 November tahun lalu semasa berlakunya pergolakkan dalam rumah tangganya.

Katanya, lirik lagu Jauh Hati ini hanya mengambil masa 20 minit untuk disiapkan dan ia dicipta semasa dia sedang berdepan perasaan bercampur baur.

Jauh Hati mengisahkan kisah hidup Shila Amzah.

"Lagu Jauh Hati ini sangat peribadi pada saya. Sejujurnya lagu ini ditulis sebelum saya memilih untuk meninggalkan perkahwinan saya... saya tulis lagu ini malam sebelum saya keluar meninggalkan rumah iaitu 12 November.

"Siang hari pada 11 November itu saya pergi membeli barang dapur dan pada waktu malam saya terbawa perasaan sehingga mahu mengeluarkan segalanya yang terbuku di dada saya... cara yang saya tahu adalah menulis. Masa itu dia (suami) tidur di atas, anak di dalam bilik dan saya lihat sekeliling rumah dalam masa 20 minit saya berjaya tulis lagu Jauh hati ini," katanya kepada mStar.

Perkara itu dikongsikan Shila ketika ditemui di majlis pelancaran lagu Jauh Hati yang diadakan di Kuala Lumpur pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Suara hilang dan telinga tak dengar, Shila Amzah hampir pitam di pentas akhir GV9

ARTIKEL BERKAITAN: Tak datang sebab sibuk, Shila Amzah gembira ND Lala kota janji muncul di separuh akhir GV9

Ditanya sekiranya lagu ini bakal menyinggung perasaan bekas suaminya iaitu Haris Idraki Elias, Shila memberitahu bahawa dia sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan memandangkan semua pihak sudah tahu mengenai kisah rumah tangganya.

"Dia sepatutnya bangga sebab siapa sahaja nak tulis lagu fasal dia. Sudah-sudah nak terasa hati semua dah berakhir. Saya sangat terbuka sekarang ini dan tiada apa yang menakutkan saya lagi. Dia tahu saya macam mana. Dia tahu saya memang menulis... sesiapa yang bersama dengan saya patut tahu tentang itu.

"Mungkin akan ada lagu tentang awak sekiranya awak buat sesuatu. Keluarga dia tahu apa yang terjadi. Ia berlainan kalau tiada orang yang tahu tiba-tiba saya keluar lagu Jauh Hati ini. Mungkin saya patut jelaskan tapi memandangkan orang sudah tahu... saya tidak lihat perkara ini akan menjadi isu. Sebagai anak seni perkara peribadi juga masuk dalam karya kita," katanya lagi.

Jauh Hati mengisahkan semua hubungan yang mengecewakan Shila Amzah.

Dalam pada itu, Shila juga memaklumkan bahawa lagu ini bukan hanya berkisahkan tentang rumah tangganya yang terlerai, namun turut mengaitkan kisah hubungan tidak kesampaian yang dijalinkan sebelum ini.

"Walaupun Jauh Hati ini ditulis sebaik sahaja perkara tersebut berlaku namun ia juga merangkumi semua jenis hubungan yang pernah saya alami yang tidak pernah saya tulis dalam lagu. Sejujurnya hubungan saya sebelum dan selepas berkahwin semuanya adalah teruk," ujarnya.

Lirik Jauh Hati disiapkan dalam masa 20 minit.

Single Jauh Hati terbitan Nova Music ini boleh didengari di semua platform muzik digital, manakala video rasmi lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.

Untuk rekod, Shila sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018 namun hubungan mereka berakhir dengan perceraian pada Februari lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain