suria

Tergamak ada kata tak payah kesian mangsa tanah runtuh, Fazley Yaakob minta tolak beza bangsa dan agama untuk tunjuk simpati

Datuk Fazley kesal isu tanah runtuh dikatikan dengan bangsa dan kaum.

PENYANYI dan chef selebriti Datuk Fazley Yaakob kesal apabila terdapat segelintir pihak bersikap tidak berperikemanusiaan terhadap mangsa kejadian tanah runtuh di Batang Kali yang berlaku pada Jumaat lalu.

Fazley atau Ahmad Fadzli Yaakob, 44, berkata, kebebasan bersuara perlu pada tempatnya dan tidak sewenang-wenangnya menyentuh isu agama dan bangsa dalam menunjukkan rasa simpati terhadap mangsa.

Tambah Fazley, adalah lebih baik sekiranya masyarakat mendoakan segala urusan mangsa dan penyelamat dipermudahkan berbanding berkongsi sesuatu yang tidak enak dibaca.

"Betullah netizen itu bebas bersuara, tapi kenalah juga tengok keadaan. Bila isu bangsa dan kaum jadi kayu pengukur untuk tentukan tahap kesihatan terhadap mangsa, saya sendiri turut terkesan.

Datuk Fazley luah rasa kesal terhadap sikap pihak yang tidak prihatin.

"Tolong tolak beza bangsa dan agama. Hati-hati bila buat posting. Lebih baik kita mendoakan agar dipermudahkan urusan," katanya.

Perkara itu diluahkan Fazley selepas membaca sebuah kenyataan di Twitter yang mengajak orang ramai untuk tidak bersimpati terhadap mangsa tanah runtuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh Batang Kali: Angka korban meningkat kepada 23

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga dimasukkan ke Hospital Selayang... operasi mencari, menyelamat 12 lagi mangsa diteruskan

"Mangsa tanah runtuh bukan orang kita, jadi tak payahlah kesian sangat," tulis twit berkenaan.

Fazley turut berharap agar semua pihak lebih sensitif dalam meluahkan sesuatu perkara di media sosial terutama dalam kejadian seperti ini kerana bimbang akan melukakan hati keluarga mangsa.

"Korang, kita nak masuk 2023 dah ni. Tak perlulah semua orang diingatkan apa yang perlu di post dan apa yang perlu difikirkan semula sebelum di post.

Tanah runtuh di Batang Kali korbankan 23 mangsa setakat ini.

"Mohon lebih sensitif dengan kemungkinan ada ahli keluarga mangsa yang terbaca komen-komen sinis itu. Dah namanya rakyat Malaysia maka bukan hanya bola sepak yang menyatukan kita tetapi musibah juga seharusnya membuatkan kita semua bersatu hati dalam simpati," katanya lagi.

Sebelum ini, Malaysia dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada awal pagi Jumaat.

Sehingga kini, jumlah kematian telah meningkat sebanyak 23 orang bagaimanapun 10 mangsa lagi masih dalam misi menyelamat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain