suria

Beli rumah bukan keutamaan, Zulkifli Ismail selesa 38 tahun hidup menyewa…“Saya tiada pendapatan tetap, susah buat pinjaman”

Zulkifli tidak kisah hidup menyewa.

PELAKON Zulkifli Ismail tidak menyangka perkongsiannya mengenai rumah sewa yang didiami di Cheras, Kuala Lumpur menarik perhatian ramai sehingga tular di media sosial.

Zulkifli, 59, berkata dia memuat naik hantaran di Instagram itu kerana ingin berkongsi kesedihan terpaksa meninggalkan rumah yang disewa sejak 32 tahun lalu.

Perkongsiannya itu bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi netizen sehingga ada yang mempersoalkan tindakannya tidak membeli kediaman sendiri.

zul2 - 1

Zulkifli berpesan tidak salah kalau hidup hanya menyewa rumah.

Tampil menjawab mengenai perkara itu, Zulkifli berkata dia lebih mengutamakan keperluan keluarga berbanding mengikut kata-kata dan kehendak orang lain.

"Tak semestinya kena beli (rumah) sebab dengan menyewa rumah juga kita boleh hidup dengan selesa. Itu menurut pandangan saya. Saya hidup selama 38 tahun tinggal di rumah sewa sejak belum berkahwin lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Tak pernah 'sign' sebarang perjanjian... Noraniza Idris jawab isu penipuan penjualan rumah artis RM10

ARTIKEL BERKAITAN: Roslan Salleh buta selepas saraf dimatikan, Anne Abdullah minta rakan artis datang ziarah - "Dia masih kenal kami yang melawatnya"

"Saya beri keutamaan pada perbelanjaan kesihatan dan pelajaran anak-anak. Semua orang memang nak beli rumah, tapi tengok juga kemampuan masing-masing," katanya ketika dihubungi mStar.

Dalam pada itu, Zulkifli mengakui kerjaya sebagai pelakon memberi sedikit kesukaran untuk dia membuat pinjaman bank bagi membeli rumah.

Katanya, sumber pendapatan yang tidak tetap menjadi penyebab utama masih ramai dalam kalangan selebriti terutamanya artis veteran masih belum mempunyai kediaman sendiri.

Tak semestinya kena beli sebab dengan menyewa rumah juga kita boleh hidup dengan selesa.

ZULKIFLI ISMAIL

PELAKON

"Ramai orang tak faham, artis tak boleh buat pinjaman bank. Saya tak salahkan bank kerana itu memang prosedur mereka.

"Saya tidak mempunyai pendapatan tetap dan yang saya tahu, ramai juga artis veteran tidak mempunyai rumah sendiri kerana masalah seperti ini," ujarnya.

Berkongsi kenangan tinggal di rumah sewa berkenaan, Zulkifli berkata dia menjaga rumah itu seperti kediamannya sendiri serta tidak pernah berkira sekiranya perlu menukar atau memperbaiki barangan yang rosak.

zul1 - 1

Zulkifli sudah memiliki rumah sendiri sejak 2009.

"Saya menyewa rumah itu selama 32 tahun... saya menjaganya seperti rumah sendiri. Saya tidak pernah minta claim pada tuan rumah sekiranya melakukan kerja-kerja penukaran paip atau mentol.

"Kalau nak cat pun, saya cat sahaja tanpa meminta potongan bayaran sewa. Saya rasa itu membuatkan tuan rumah selesa kerana penjagaan baik yang dilakukan kami sekeluarga," jelasnya.

Sementara itu, Zulkifli turut meluahkan rasa syukur kerana isterinya yang bekerja sebagai seorang guru telah membeli sebuah rumah di Kajang pada 2009.

Justeru itu, mereka mengambil keputusan untuk berpindah terus ke kediaman itu memandangkan isterinya kini ditugaskan mengajar di Kajang, Selangor.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain