PENYANYI Shahir Zawawi menyangkal dakwaan dia kembali menghilangkan diri ekoran dilihat tidak lagi aktif di media sosial serta memadamkan semua gambar pernah dimuat naik di Instagram sebelum ini. Sebaliknya kata Shahir, 34, perkara tersebut disebabkan Instagram miliknya telah digodam kira-kira sebulan lalu selepas dia secara tidak sengaja membalas satu direct message yang dihantar kepadanya. "Ceritanya pada satu pagi dalam keadaan masih mamai selepas bangun tidur saya dapat mesej minta saya klik satu pautan. Ingatkan betul daripada pihak Instagram, rupa-rupanya penggodam. "Pada awalnya dia juga minta saya bayar sebanyak AS$200 (RM885) tapi saya rasa ragu-ragu dan tidak meneruskan permintaan tersebut. Tanpa disedari semua gambar saya hilang. Shahir masih aktif menyanyi. "Saya tak hilang... cuma Instagram yang kena hack," katanya kepada mStar. Dalam pada itu, Shahir memberitahu dia telah membuat aduan tentang perkara itu namun dihubungi pihak lain yang meminta dia membayar sejumlah wang untuk mendapatkan kembali akaun miliknya. ARTIKEL BERKAITAN: Sudah lebih matang berdepan kontroversi, Shahir Zawawi janji tak masuk ‘gua’ lagi ARTIKEL BERKAITAN: Isteri tak tahu suami seorang selebriti, pertama kali berbual Shahir Zawawi dah ajak pergi kursus kahwin! Tidak mudah terpedaya dengan janji tersebut, Shahir mengambil keputusan mengabaikan permintaan tersebut dan membuka akaun yang baharu. "Saya ada report dan minta rakan-rakan buat perkara sama. Saya dapat tahu akaun tersebut telah dijual kepada individu lain. "Untuk dapatkan semula akaun itu saya perlu bayar seolah-olah saya kena beli semula akaun sendiri. Jadi lebih baik abaikan dan buka sahaja akaun baru," ujarnya. Reda dengan apa berlaku, Shahir bagaimanapun ada rasa terkilan kerana semua memori yang pernah dimuat naik di Instagram lenyap begitu sahaja. Selepas mendirikan rumah tangga, Shahir dilihat kembali menyepikan diri. Penyanyi lagu Kebahagian Dalam Perpisahan ini memberitahu dia akan kembali berkongsi perkembangan terbaharu kerjaya seni di platform berkenaan termasuk beberapa akuan media sosial lain yang dikendalikan oleh pihak pengurusan. “Memang rasa terkilan sebab saya hanya aktif di Instagram sahaja. Sekarang semua kenangan lama seperti gambar kahwin dan persembahan dah hilang. “Saya sudah buka akaun baru dan kali ini biarlah pihak pengurusan yang kendalikan. Segala perkembangan baru saya akan kongsikan tidak lama lagi. Sepanjang tidak aktif di media sosial, saya masih menerima undangan menyanyi,” jelasnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI