suria

Abby Abadi dah tak marah Norman Hakim cuma masih geram… Meriah sambut birthday bersama keluarga besar

Norman terharu dengan sambutan yang diterima daripada keluarga.

TIDAK pernah menyimpan dendam terhadap bekas suami iaitu Norman Hakim, pelakon Abby Abadi berkata dia masih menjalinkan hubungan baik dengan aktor itu demi anak-anak mereka.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 45, berkata dia dan Norman kini bersahabat baik dan tidak lagi mempunyai perasaan marah selepas 13 tahun membawa haluan masing-masing.

Dalam perkongsian terbaharu di Instagram, Abby dan suami iaitu Faizal Zakaria meraikan ulang tahun kelahiran Norman atau Mohamed Nurhakim Zaidon, 47, yang disambut pada 8 Januari lalu.

abby1 - 1

Norman bersama anak-anaknya.

"Kami macam kawan baik sekarang kan? Saya tak marah dah dekat Oman (panggilan Norman), cuma geram. Sebab? Rahsia. Hehe!

"Apa pun, syukur dapat sambut birthday Oman. Kecil-kecilan saja tapi sangat bermakna untuk keluarga kecil kami yang jarang dapat berkumpul," katanya.

Sementara itu, Norman turut mengucapkan terima kasih kepada Abby dan Faizal, 49, kerana sudi meraikan hari istimewanya bersama.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen ungkit kes cerai Abby Abadi dan Norman Hakim, kecoh juga... Terkenang kisah 'serang' set penggambaran

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh cuba dekati Norman Hakim, suami Abby Abadi tak cemburu... Sudah biasa bergurau, tahu jaga batas

Norman berkata dia masih menyayangi Abby sebagai ibu buat anak-anaknya dan Faizal sebagai seorang abah yang sama-sama mengetuai keluarga besar mereka.

"Terima kasih Abby dan abah Faizal untuk ingatan meraikan Puppy (panggilan Norman). Puppy sangat gembira, rasa nak 'woof..wooff' sepanjang malam meluahkan rasa terharu.

"Kasihku buatmu takkan pudar sebagai ibu buat anak-anakku dan sayangku buat Abah hingga ke akhir hayat yang sentiasa bersama bergandingan menakhodai bahtera keluarga ini," ujarnya.

abby2 - 1

Keluarga bahagia Abby dan Norman.

Untuk rekod, Abby dan Norman berkahwin pada 2002, namun pasangan selebriti itu bercerai pada 2009.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 20, Marissa Dania Hakim, 18, dan Danisha Hakim, 15.

Abby kemudian mendirikan rumah tangga dengan Faizal pada Ogos 2015 dan dikurniakan seorang anak yang pramatang, namun meninggal dunia selepas 70 hari menerima rawatan di hospital.

Norman pula berkahwin kali kedua dengan pelakon Memey Suhaiza pada September 2011 dan telah dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 10, Muhammad Dikhriz Hakim, 8, dan Mikayla Delisha Hakim, 5.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain