suria

Uyaina Arshad hanya sempat menyusu 2 minggu, bayi lelaki alami masalah ‘tongue-tie’

Anak lelaki Uyaina mempunyai masalah tongue-tie.

PELAKON dan pengacara Uyaina Arshad hanya berpeluang menyusukan bayi lelakinya, Raja Urhan kurang daripada dua minggu disebabkan masalah tongue-tie (lidah pendek).

Uyaina atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 30, berkata, dia mula menyedari masalah yang dihadapi oleh Urhan itu sejak minggu pertama kelahirannya.

Kata Uyaina, setiap kali menyusukan Urhan, anaknya akan menangis seolah-olah dipaksa sehingga dia terpaksa menghentikan proses menyusu badan.

uyaina1 - 1

Uyaina berkongsi info tentang tongue-tie di instastory.

"Saya mula sedar Urhan ada tongue-tie dalam minggu pertama kelahirannya. Dia mempunyai kesukaran untuk latch.

"Bila menyusu badan sahaja dia menangis macam kena pukul. Dah jadi macam memaksa pula. Sebab lepas dua tiga kali dia latch, dia akan lepaskan. Risau sebab dia tak minum susu secukupnya," katanya.

Uyaina berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran yang di muat naik di Instagram miliknya pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: "Paling menyedihkan, ini adalah benar" - Peminat tegur semakin berisi selepas bersalin, Uyaina Arshad usaha dapat berat badan ideal

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tak reti duduk diam! Uyaina Arshad terus kerja selepas habis pantang, belajar berpisah dengan anak

Dalam pada itu, Uyaina menjelaskan telah membawa anak ke hospital dan menggunting sedikit bahagian bawah lidah untuk mengurangkan masalah tongue-tie tu.

Bagaimanapun kata Uyaina, Urhan masih lagi belum dapat menyusu dengan baik dan apabila dibawa semula ke hospital rupa-rupanya tongue-tie tersebut tidak dilepaskan sepenuhnya.

"Doktor kata perlu buat pembedahan tapi kena tunggu dia besar sikit. Dah lebih tiga bulan baru boleh buat sebab nak monitor berat dia dulu.

"Sejak daripada itu, saya mula beri dia susu formula. Mula-mula tu campur dengan susu badan tetapi lama-lama susu makin kurang sampai dah tak perlu pam," ujarnya.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Uyaina tidak menafikan isu menyusu badan adalah satu perkara sensitif terhadap golongan ibu.

Jelas Uyaina, setiap individu mempunyai rezeki masing-masing dan paling penting adalah anak-anak mereka dapat membesar dengan sihat dan baik.

uyaina2 - 1

Uyaina reda hanya mampu menyusukan anak kurang dari dua minggu.

"Isu fasal menyusu badan ini adalah benda yang sensitif juga. Ada sesetengah ibu, Alhamdulillah anak dapat menyusu dengan baik dan susu pun banyak.

"Saya hanya ingin katakan, tidak mengapa para ibu. Setiap rezeki itu datang dari Tuhan. Kita dah cuba dan usaha. Yang penting anak kita sihat dan membesar dengan baik," katanya.

Untuk rekod, Uyaina mendirikan rumah tangga dengan Raja Shahiran pada 21 Disember 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Raja Urhan pada 8 September 2022.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain