PRIHATIN dengan nasib pemain industri seni terutamanya bidang penerbitan drama, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM) menggesa pihak kerajaan agar menambah dana peruntukan kepada agensi seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli, permohonan tersebut juga berikutan kesan diterima industri kreatif pada tahun 2020 selepas dana kandungan digital di Finas dipotong. Selain itu, isu berkaitan pemilikan harta intelek juga harus diberi perhatian agar dapat memajukan lagi kandungan kreatif tempatan. "Kami berharap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan tambahan peruntukan bagi memastikan lebih banyak penghasilan kandungan kreatif seterusnya mengwujudkan peluang pekerjaan kepada penggiat industri. "Pada tahun 2022 industri kreatif terkesan apabila peruntukan perolehan rancangan di RTM dan dana kandungan digital di Finas telah dipotong sehingga menjejaskan beratus buah syarikat penerbitan seterusnya melenyapkan peluang pekerjaan kepada beribu penggiat industri kreatif tempatan. Jurey berharap kerajaan lebih beri perhatian terhadap industri seni tempatan. "Bagi memastikan industri kandungan kreatif terus berkembang pesat, isu pemilikan harta intelek, suntikan dana yang mencukupi kepada stesen penyiar dan agensi kerajaan menjadi pemangkin industri kandungan kreatif tempatan," katanya dalam satu kenyataan kepada mStar. Menambah kepada cadangan tersebut, pihaknya juga berharap pihak kerajaan menerusi Belanjawan 2023 dapat membuat pertimbangan bagi membina sebuah studio sepertimana dilakukan di kebanyakan negara-negara luar bagi memudahkan penggambaran. "Kami juga berharap kerajaan dapat menyediakan dana bagi pembinaan studio outdoor untuk set-set penggambaran program TV tempatan seperti di Korea Selatan dan China," jelasnya. ARTIKEL BERKAITAN: Tewas PRU15... Jurey Latiff kembali duduk kerusi pengarah, Eizlan Yusof simpan kenangan jumpa pengundi ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pengerusi Finas tak nak gaduh, akur kontrak ditamatkan walaupun tidak dipanggil berbincang Sementara itu, menyentuh dari aspek pengurusan pula, pihaknya juga mahu Kementerian Komunikasi dan Digital di bawah pimpinan Fahmi Fadzil lebih menitik beratkan hal berkaitan yang melibatkan semua pihak. Justeru Jurey juga berani memberi cadangan agar Majlis Kreatif Negara ditubuhkan yang dapat menjadi orang tengah dan penggerak antara kementerian dengan agensi serta persatuan industri. "Semoga kerajaan lebih mengambil berat hal ehwal industri dengan melakukan libaturus antara kementerian, agensi dan persatuan industri. Dengan cara ini segala dasar kerajaan yang akan dilaksanakan mencapai objektif. "Bagi menjayakan harapan ini, PTVM mencadangkan penubuhan Majlis Kreatif Negara yang berperanan sebagai 'one stop center' bagi menghubungkan semua agensi dibawah kementerian," ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube