PELAKON Sharnaaz Ahmad akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan menumbuk dan menendang penghuni sebuah kondominium di Segambut Jun tahun lalu. Peguam Sharnaaz iaitu Datuk Abu Bakar Isa Rahmat berkata, pihaknya akan memfailkan perkara itu dalam tempoh dua minggu selain memohon bond sebagai alternatif kepada representasi yang dikemukakan kepada pihak mahkamah. "Draf representasi telah pun siap dan kami akan masukkan beberapa maklumat penting termasuk meminta kes tersebut ditarik dan secara alternatif kami memohon satu bond jika dibenarkan. "Jika mahkamah tidak bersetuju dengan representasi ini kita akan mohon satu tarikh untuk bicara," katanya kepada mStar. Sharnaaz hadir ke mahkamah ditemani peguam. Pada Isnin, Mahkamah Majistret Jenayah Kuala Lumpur menangguhkan kes tersebut pada 5 Mei depan bagi proses serahan dokumen. Sharnaaz atau Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 38, ketika ditemui media berkata dia memahami proses mahkamah yang mengambil masa lama tambahan pula pernah berpengalaman ketika proses penceraiannya dengan bekas isteri, Noor Nabila tiga tahun lalu. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sharnaaz Ahmad mengaku tak bersalah tumbuk, tendang penghuni kondominium ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Gaduh hari ini, esok jadi kawan baik” - Sharnaaz Ahmad anggap kes pukul kecil, warna dalam kehidupan "Proses mahkamah memang lama sebab saya pun pernah bercerai sebelum ini jadi saya tahu proses mahkamah mengambil masa. "Kita kena faham bukan saya seorang sahaja hakim itu nak layan. Jadi kita ada masa, tarikh dan prosedur yang perlu diikut," katanya kepada mStar. Sharnaaz yang tampil berbaju kemeja biru cair tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9.15 pagi ditemani dua orang peguam. Pelakon itu kelihatan tenang dan sempat menyapa petugas media yang merakam dirinya ketika berjalan masuk ke mahkamah. Pada 18 Januari lalu, Sharnaaz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM2,000. Sharnaaz didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum maksimum penjaran setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube