suria

Meriah! Hampir 10,000 peminat banjiri ‘Konsert Reunion ST12’, sanggup beratur panjang walau dalam hujan

Charly juga merupakan seorang komposer terkenal yang banyak mencipta lagu termasuk untuk artis Malaysia.

MERAIKAN ulang tahun ke-20 penglibatan dalam dunia seni, kumpulan ST12 meluahkan rasa gembira apabila dapat bertemu dengan peminat Malaysia dalam Konsert Reunion ST12 yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil pada malam Sabtu.

Gembira dengan sokongan yang diberikan, Charly selaku vokalis kumpulan mengucapkan penghargaan buat peminat kerana masih menyokong kumpulan mereka termasuk kelompok orang muda.

“Ini adalah satu muzik serumpun antara Indonesia dan juga Malaysia. Kami amat berbesar hati dapat datang ke sini (Kuala Lumpur) untuk bertemu peminat.

st12 3

Persembahan ST12 mengimbau kenangan 20 tahun bersama peminat.

“Banyak yang telah dilalui ST12 termasuk perpecahan dalam ahli kumpulan. Namun peminat masih setia mendengarkan lagu-lagu kami.

“Sudah 20 tahun berkarya dan baru sekarang dapat hibur peminat di sini. Terima kasih Malaysia,” katanya ketika di atas pentas.

Dalam konsert berdurasi lebih dua jam itu, ST12 menghiburkan peminat dengan pilihan lagu-lagu popular mereka seperti Cinta Tak Harus Miliki, Jangan Pernah Berubah dan Puspa.

ARTIKEL BERKAITAN: “Harga rahmah, pengalaman mewah” - Pengasas Bulan Bintang mula bimbang ramai minta anjur lebih banyak konsert

ARTIKEL BERKAITAN: Konsert ‘Journey To The Future’ bukti Shila Amzah dalam kelas tersendiri, lagu galau tusuk hati penonton

Persembahan diadakan mengikut segmen perjalanan mereka dan juga lagu-lagu yang dibawakan oleh Setia Band iaitu kumpulan yang ditubuhkan oleh Charly bersama Pepeng (gitar) selepas keluar ST12.

Peminat turut disajikan dengan video perjalanan kerjaya Charly seawal usia 16 tahun yang mana ketika itu dia mula menyanyi di restoran sebelum menubuhkan ST12 pada sekitar tahun 2003.

Konsert pada malam tersebut turut disertai oleh penyanyi Firman yang popular dengan lagu Kehilangan di mana karya tersebut merupakan ciptaan Charly sendiri.

Banyak yang telah dilalui ST12 termasuk perpecahan dalam ahli kumpulan. Namun peminat masih setia mendengarkan lagu-lagu kami

CHARLY

PENYANYI

Pada malam itu, penyanyi tanah air iaitu Jacly Victor dan Ezad Lazim juga turut sama berkongsi pentas membuat persembahan.

Bukan itu sahaja, Charly turut membawa anaknya iaitu Restu berduet menyampaikan lagu berjudul Biarkan Aku Jatuh Cinta.

Sementara itu, Datuk Razif Asmuni dari Menara Network Sdn Bhd selaku penganjur berkata konsert ini antara kejayaan terbesar mereka apabila hampir 10,000 peminat membanjiri ruang Arena Axiata pada malam berkenaan.

st12 2

Firman (kiri) dan Jaclyn turut sama membuat persembahan.

Tambahnya lagu, kemunculan Datuk M Nasir pada penghujung konsert adalah satu detik yang amat bermakna apabila seorang penyanyi legenda sanggup hadir meluangkan masa.

“Kemunculan M Nasir adalah satu kemuncak pada malam itu. Meskipun tidak menyanyi, tetapi beliau hadir memberikan sokongan.

“Peminat pula sanggup beratur panjang untuk masuk ke dalam arena dalam keadaan hujan dan bersesak. Kami melihat ini sebagai satu kejayaan besar dalam penganjuran konsert,” jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain