suria

Selepas fenomena ‘Casablanca’, Nuha Naufal kembali kolaborasi menerusi ‘Iktiraf’ sempena Ramadan

Nuha dan Naufal raikan Ramadan dengan lagu terbaharu.

PASANGAN duo terkenal, Naufal Azrin dan Nuha Bahrin tampil dengan lagu berjudul Iktiraf sempena meraikan bulan Ramadan kali ini.

Nuha atau Nuha Sakina Saiful Bahrin, 23, berkata lagu Iktiraf mengajak seluruh umat Islam di dunia untuk sentiasa mengingati Allah SWT dalam setiap ujian atau cabaran yang ditempuh.

"Saya percaya ramai yang kenal dan tahu mengenai Iktiraf ini. Doa ini antara yang sering kita dengar atau baca setiap kali berdepan kesulitan.

"Doa ini mengingatkan kita untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Maha Pencipta supaya jangan berhenti berdoa dan memohon keampunan daripadaNya.

1 (1)

Nuha dan Naufal serasi berduet bersama.

"Sebagai hamba kita perlu sentiasa muhasabah dan bertaubat memperbaiki diri kerana keampunan Allah SWT adalah matlamat yang ingin dicapai setiap mukmin," katanya.

Berkongsi mengenai proses rakaman, Nuha berasa syukur apabila proses rakaman lagu berkenaan berjalan dengan lancar kerana mendapat sentuhan daripada produkasi yang hebat.

"Alhamdulillah proses rakaman lagu ini berjalan dengan lancar. Dengan bantuan Naufal serta setiap individu yang terbabit dalam lagu ini segalanya berjalan dengan mudah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada cinta di hati Nuha Bahrin, anggap Naufal Azrin macam abang sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Naufal Azrin kesal dituduh sudah berubah sikap selepas popular... Rupanya ibu pernah larang jadi penyanyi

"Saya harap peminat akan menyukai lagu yang dibawakan ini dan sama-sama kita rebut dan gandakan pahala di bulan penuh kemuliaaan ini," kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Naufal atau Ahmad Naufal Azrin, berharap lagu yang diinspirasikan dari doa Abu Nawas terbitan Beegood Music, Masyhur dan Universal Music Malaysia dapat memberi keinsafan kepada setiap yang mendengar.

"Allah SWT sentiasa membuka pintu taubat seluas-luasnya terhadap hamba yang mengaku kekhilafan dan berusaha memperbaiki kesilapan itu.

553

Nuha dan Naufal harap lagu Iktiraf jadi halwa pendengar ketika susah.

"Sebesar mana sekalipun dosa dilakukan seseorang itu, Allah SWT sentiasa memberi ruang mereka bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

"Jadi saya harap lagu yang dibawakan ini dapat menjentik hati setiap insan, lebih-lebih lagi kepada sesiapa yang ingin berubah ke jalan kebaikan," jelasnya.

Kali kedua bergandingan dengan Nuha, penyanyi berusia 24 tahun itu berkata proses rakaman lagu dan muzik video dibuat dalam tempoh satu hari kerana keserasian mereka bersama.

Dia turut berharap Iktiraf dapat menjadi lagu doa wajib dan halwa telinga untuk didengari setiap kali berdepan kesulitan.

"Proses rakaman dan muzik video dibuat pada hari yang sama. Kami tidak berdepan sebarang kesukaran untuk membawakannya.

"Malah ketika merakamkan lagu ini kami berdua berasa bertuah sekali kerana dapat mengajak pendengar dan peminat untuk menghayati lagu ini dengan hati terbuka," kongsinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain