DISERANG bronkitis atau batuk berkahak selepas pulang dari Norway pada Februari lalu, penyanyi Jay Jay berkata dia mengalami kesukaran untuk menyanyikan lagu bernada tinggi. Gara-gara itu, Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus, 66, memberitahu pertama kali dalam hidupnya dia menangis selepas membuat persembahan kerana tidak mampu menyampaikan lagu berkenaan dengan baik. "Buat pertama kalinya saya menangis disebabkan batuk ini memberi kesan pada tekak saya. Saya dah tak boleh menyanyi tinggi macam dulu buat masa ini. Jay Jay dijangkiti virus batuk sewaktu berada di Norway. "Saya down. Macam saya cakap, seumur hidup saya, sepanjang karier menyanyi saya tidak pernah mengalami sakit tekak seteruk ini," katanya kepada mStar. Tambah Jay Jay, dia dijangkiti virus hingga batuk teruk selepas sebulan berada di Norway kerana mengunjungi anaknya yang tinggal di sana. ARTIKEL BERKAITAN: Tiga bulan batuk tanpa henti... Ezzaty Abdullah masuk hospital, Azwan Kombos berdebar tunggu laporan doktor ARTIKEL BERKAITAN: [V] Hampir cari penyanyi ganti, Shiha Zikir alami batuk berdarah sebelum AJL37... Ada individu mengaku pernah hantar 'sesuatu' Penyakitnya itu menjadi semakin parah kerana doktor di Norway tidak menggunakan antibiotik dan disebabkan itu batuknya semakin teruk dan lambat pulih. "Saya ke Norway pada akhir Januari lalu. Sewaktu di sana, saya diserang virus batuk. Batuk saya tidak berhenti-henti kerana mempunyai kahak degil. "Sistem perubatan di sana tak sama dengan Malaysia. Di sana, kita tak boleh ambil ubat antibiotik, jadi saya hanya makan ubat batuk sahaja. Saya down. Macam saya cakap, seumur hidup saya, sepanjang karier menyanyi saya tidak pernah mengalami sakit tekak seteruk ini. JAY JAY PENYANYI "Di Norway tidak ada ubat anti-virus, kalau kamu batuk, dia bagi makan ubat batuk sahajalah. Itu yang lambat nak baik," ujarnya. Kata Jay Jay lagi, masalah batuk dan sakit tekak itu benar-benar menganggu vokal nyanyiannya sehingga kini. Pun begitu, Jay Jay bersikap positif bahawa dia virus itu masih boleh diubati dan turut cuba mendapatkan rawatan alternatif yang lain. "Senang cerita buat masa ni saya sedang ambil ubat. Nak hit high pitch macam dulu buat sementara ni memang susah. "Sekarang kalau saya menyanyi seperti saya perlu memaksa suara untuk keluar. Kalau dulu, setakat nak nyanyi tinggi tu biasa saja. "Saya juga terima beberapa cadangan untuk cuba perubatan Cina. InsyaAllah saya yakin batuk ini akan semakin pulih," katanya. Jay Jay bakal beraksi di Konsert Satu Suara Vol. 3. Sementara itu, penyanyi lagu Joget Angan Tak Sudah itu berharap agar tahap kesihatannya segera pulih kerana bakal menghiburkan peminat di Konsert Satu Suara Vol. 3 bersama penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza dan Ernie Zakri pada Mei ini. "Saya harap sakit ini akan reda dan suara saya akan kembali pulih seperti dulu. Harap-harapnya pada 13 Mei nanti saya fit untuk menyanyi. "InsyaAllah sekarang saya juga sudah menjaga pemakanan dan saya harap saya dapat hiburkan peminat dengan lagu-lagu yang sedap," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!