KHAMIS lalu seorang pengguna TikTok memuat naik sebuah video menyentuh perasaan memaparkan seorang warga emas yang berjalan dalam keadaan bongkok mencari rezeki sebagai penghantar makanan. Menerusi video berdurasi 55 saat itu, lelaki berkenaan memberitahu dia tetap bekerja di bulan Ramadan dan hanya berhenti berehat untuk berbuka puasa dan solat. Video tersebut yang turut menyentuh perasaan personaliti media sosial Nurul Nabilah atau lebih mesra dengan sapaan Bella yang sebak dan kagum dengan kegigihan warga emas itu mencari rezeki halal demi kelangsungan hidup. Atas dasar itu, Bella atau Nurul Nabilah Aliah Hazman, 28, mengambil keputusan untuk menghadiahkan sebuah kereta untuk pakcik tersebut demi keselesaan dan keselamatannya. Bella tersentuh selepas menonton video tular itu. "Bella buat keputusan sempena bulan puasa yang mulia ini untuk kongsi rezeki hadiahkan pakcik sebuah kereta. "Jadi, pakcik sudah boleh bergerak dengan kereta lebih selesa dan selamat. Tapi apa-apa pun, pakcik tetap kena jaga diri," katanya. Bella berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Ahad. ARTIKEL BERKAITAN: Hasil live di TikTok selama sejam... Isteri beli Alieff Irfan superbike Ducati RM150,000 sempena ulang tahun ketiga perkahwinan ARTIKEL BERKAITAN: Hasil kerja keras 5 tahun, akhirnya Alieff Irfan dapat beli kereta sport McLaren 720S bernilai RM2 juta Dalam pada itu, isteri kepada personaliti media sosial Alieff Irfan ini turut memberitahu, pakcik itu juga sudah tidak disarankan menunggang motosikal atas nasihat doktor. Kata Bella, dia terharu melihat lelaki berusia 68 tahun itu mencari rezeki dan teringatkan kepada datuknya. "Bella tengok video pakcik grab viral, tiba-tiba Bella teringat dekat datuk Bella. Pakcik ini masih berusaha mencari rezeki pada usia 68 tahun walaupun keadaan tak mengizinkan. "Pakcik ini sakit belakang, jadi doktor pun tidak menggalakkan dia untuk menunggang motor lagi," ujarnya. Alieff dan Bella dikenali sebagai seorang yang pemurah. Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen terharu dengan tindakan yang dilakukan oleh Bella dan mendoakan agar personaliti media sosial ini sentiasa dimurahkan rezeki. "Tiba-tiba mata masuk habul. Semoga Allah limpahkan rezeki Bella sekeluarga. "Masya Allah semoga kak Bella dan abang Alieff dilimpahkan rezeki supaya dapat membantu ramai orang. "Saya bangga dengan kamu. Apa yang Bella nak selama ini untuk bahagiakan orang sekeliling, Bella sudah dapat," tulis netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!