suria

Ismail Izzani belajar bahasa isyarat 2 jam sebelum masuk set, mahu lebih serius sebagai pelakon

Ismail seronok belajar bahasa isyarat.

PELAKON dan penyanyi Ismail Izzani teruja apabila diberi kesempatan untuk mempelajari bahasa isyarat menerusi drama lakonan terbaharunya Bukan Hanya Sekadar Cinta.

Ismail atau Ismail Izzani Zainal Nazeri, 23, berkata, ini merupakan pertama kali dirinya diberikan peranan utama dalam membintangi sebuah drama.

Kata Ismail, dia ingin mencabar kebolehan diri dengan membawakan watak yang dirasakan mampu memberikan kepuasan buatnya.

"Bila saya dapat skrip, saya suka jalan ceritanya dan saya mahu cabar diri untuk keluar daripada zon selesa.

ismail2 - 1

Ismail mahu tampilkan kelainan menerusi watak yang dibawa.

"Sebenarnya apa yang menarik dengan watak saya dalam drama itu, kami belajar menggunakan bahasa isyarat secara spontan," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Ismail berkongsi pengalamannya sewaktu mempelajari bahasa isyarat dalam masa yang singkat.

Jelas penyanyi lagu Luar Biasa itu, dia hanya mempunyai beberapa jam untuk belajar sebelum menjalani penggambaran babak yang perlu menggunakan bahasa isyarat itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Video cekap guna bahasa isyarat dapat perhatian peminat, A. Aida sendiri kagum dengan Ismail Izzani... buktikan diri serius bergelar pelakon

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Izzani tak mahu jadi hipokrit... jawab spekulasi sudah kahwin, berhibur di kelab malam

"Di set penggambaran, ada individu yang akan mengajar saya on the spot kira-kira satu hingga dua jam sebelum memulakan penggambaran.

"Saya hanya membaca skrip untuk lebih faham dan kami akan belajar sekejap bahasa isyarat tu dan terus shooting.

"Nak kata mudah, susah juga sebenarnya tapi mungkin saya seorang yang cepat belajar," ujarnya.

Kalau ada rezeki nak belajar bahasa isyarat, memang saya tidak akan tolak.

ISMAIL IZZANI

PENYANYI/PELAKON

Ismail bagaimanapun berkata sebelum ini dia hanya mempelajari bahasa isyarat kerana tuntutan dalam drama tersebut, namun kini dia tertarik untuk meneruskan pembelajaran bahasa isyarat jika diberikan kesempatan.

Menurut penyanyi itu, dia mula membuka mata setelah mengunjungi sebuah kafe minuman yang mempunyai pekerja kurang upaya dan hanya menggunakan bahasa isyarat.

"Buat masa ini saya memang belajar bahasa isyarat sekadar untuk melengkapkan babak dalam drama tersebut. Tetapi lama-kelamaan, saya rasa sebenarnya agak menarik untuk kita belajar bahasa isyarat.

"Saya perasan perkara baiknya contoh kita ke Starbucks di Bangsar, mereka mempunyai pekerja yang tidak boleh bercakap dan hanya menggunakan bahasa isyarat.

ismail1 - 1

Gandingan bersama Dian P. Ramlee menerusi drama Bukan Hanya Sekadar Cinta.

"Jadi saya rasa ia buatkan saya lebih teruja untuk mempelajari bahasa isyarat pada masa hadapan. Kalau ada rezeki nak belajar, memang saya tidak akan tolak," katanya.

Sebelum ini, penebit drama Bukan Hanya Sekadar Cinta iaitu Datuk A. Aida turut memuji kecekapan Ismail mempelajari bahasa isyarat untuk watak terbaharunya sebagai Isa.

Kata A. Aida atau Zaidah Awang, 53, walaupun diberi tugasan belajar dalam masa singkat namun Ismail berjaya membuktikan dirinya berjaya melakukan dengan baik.

Selain Ismail, drama terbitan A. Aida Production itu turut dibintangi oleh Sofia Dendroff, Dian P. Ramlee dan pendatang baharu, Muaz Zabir.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain