PELAKON Datin Anne Ngasri meluahkan rasa simpati dengan nasib yang menimpa Pengasas Rumah Bonda iaitu Siti Bainun yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun kerana didapati bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down bernama Bella. Anne atau Naszriah Ngasri, 38, berkata dia hanya mampu menitipkan doa agar urusan Bainun dipermudahkan selepas mahkamah memutuskan hukuman itu pada Rabu. "Kepada Allah kita berserah. Bahagian dia hari ini esok lusa kita pun belum tentu. Saya doakan Allah SWT permudahkan segala urusan Bainun," katanya. Luahan Anne terhadap kes Bainun. Anne menulis kapsyen itu berserta foto bersama Bainun semasa berada di Makkah menerusi akaun Instagram miliknya. Anne dilihat menutup ruang komen dipercayai bagi menghalang netizen menulis kata-kata negatif. Dalam pada itu, Anne juga mengingatkan dirinya dan orang ramai agar sentiasa bersangka baik dan tidak menulis sesuatu yang tidak sepatutnya. ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah tolak penangguhan hukuman, Siti Bainun diarah ke penjara serta-merta ARTIKEL BERKAITAN: Anne Ngasri bakal dapat anak kelima hujung tahun "Saya juga ingatkan diri saya sendiri berkatalah yang baik, jika tiada yang baik diam adalah jalannya. Siapa kita untuk menilai apa lagi menghukum. Semoga Allah SWT mengampuni dosa kita semua. Amin," ujarnya. Menerusi perkongsian yang lain, Anne juga memaklumkan bahawa dia memiliki ahli keluarga yang serupa dengan mangsa namun lebih memilih untuk tidak menghina sesiapa. "Nak beri pendapat pun janganlah sampai menghina. Saya pun bukanlah manusia sempurna. Saya juga punya seorang adik seperti Bella. Saya mendoakan yang terbaik buat Bella dan semua," kongsinya. Bainun ke penjara selama 12 tahun. Pada pagi Rabu, Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Bainun. Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi mensabitkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dua pertuduhan tersebut. Bagi pertuduhan pertama membabitkan pengabaian, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun. Bainun ke penjara atas kesalahan pengabaian dan penderaan melibatkan Bella. Manakala bagi pertuduhan kedua membabitkan menganiaya, pengasas Rumah Bonda itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun. Untuk rekod, Siti Bainun, 31, disabitkan atas dua kesalahan pengabaian dan penderaan melibatkan Bella di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!