suria

Tidur kena cukup, Johan tolak banyak tawaran lakonan... Bersedia terima kritikan mengacara ABPBH35

Johan memberi keutamaan kepada tugas di radio.

PELAWAK Johan memberitahu dia terpaksa menolak banyak tawaran lakonan filem kerana mahu memberikan komitmen penuh terhadap kerjaya sebagai penyampai radio.

Kata Johan atau Mohamad Yazid Lim Mohd Aziz, 39, dia enggan mengambil risiko sekiranya tidak dapat memberikan yang terbaik apabila berada di lokasi penggambaran disebabkan jadual kerja di stesen radio.

"Kerja sebagai penyampai radio adalah keutamaan. Saya perlu rehat yang cukup untuk tugas itu. Bagi saya kualiti tidur untuk diri sendiri sangat penting.

johan 3

Johan kurangkan tawaran berlakon.

"Disebabkan itu saya enggan bertanggungjawab dengan kerja yang saya rasakan tidak boleh beri komitmen sepenuhnya.

"Jadi buat masa sekarang saya memang tolak tawaran untuk berlakon," katanya kepada mStar.

Johan ditemui ketika sidang media malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-35 (ABPBH35) yang turut mengumumkan dia sebagai pengacara.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi kisah keluarga di media sosial, tetap ada yang ‘berbunyi’... Johan harap ilmu disampaikan berguna untuk anak-anak

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau nak fresh boleh tengok berita” - Johan melawak di radio untuk hilangkan stres pendengar

Berkongsi tentang rutin harian kerja, penyampai segmen Bekfes Hot di stesen Hot FM ini memberitahu jadualnya akan bermula seawal pukul 4.30 pagi sebelum memulakan tugas pada pukul 6 pagi.

"Sudah 15 tahun saya bekerja sebagai penyampai radio. Tidur lewat sekali pun, saya tetap akan bangun sekitar pukul 4.30 pagi.

"Saya akan pastikan tidur awal pada waktu malam. Jika ada program lain pun saya ambil masa tidur sekejap supaya lebih segar.

Saya enggan bertanggungjawab dengan kerja yang saya rasakan tidak boleh beri komitmen sepenuhnya

JOHAN

PELAWAK/PENYAMPAI RADIO

"Sebab itu saya susah untuk terima tawaran berlakon filem, tetapi jika perlu untuk muncul di televisyen dalam tempoh waktu yang sekejap mungkin tidak ada masalah," ujarnya.

Bercakap mengenai peluang mengacarakan malam kemuncak ABPBH35, Johan berkata dia sudah bersedia menerima sebarang kritikan dan teguran sepanjang menggalas tanggungjawab berkenaan.

johan 1

Ain dan Johan pertama kali berganding sebagai pengacara.

"Apabila saya terima tawaran ini bermakna saya sudah sedia mengambil risiko. Perancangan awal sebelum bersiaran adalah sangat penting. Setiap apa yang saya lakukan di atas pentas juga adalah pilihan sendiri.

"Sekarang ini zaman media sosial dan orang ramai boleh memberi sebarang komen. Jika ia komen membina saya terima, tetapi kalau sambil makan kacang, lebih baik diam," ujarnya.

Untuk ABPBH edisi kali ini, Johan akan bergandingan bersama Ain Edruce.

Majlis anugerah berprestij itu akan bersiaran secara langsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 21 Julai depan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain