ENGGAN menghampakan peminat, penyampai radio Suria FM iaitu DJ Lin nekad meneruskan saingan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) kali ini. Menurut DJ Lin atau Roslinda Abd Majid, 48, dia masih menerima sokongan daripada peminat meskipun ada pihak memintanya untuk mengundurkan diri selepas empat kali merangkul anugerah Penyampai Radio Popular itu. DJ Lin mahu terus bersiaran di konti radio demi peminat. “Ada yang minta saya beri laluan kepada orang lain, namun saya rasakan tidak manis sekiranya menghampakan peminat yang telah mengundi sejak awal. “Tercalon dan juga anugerah yang diterima juga adalah hadiah buat peminat. “Bagi saya dalam anugerah sebegini kita bersaing secara sihat dan sama-sama memeriahkan industri penyiaran radio. Lagipun tidak banyak acara anugerah di negara kita, jadi apa salahnya menyokong antara satu sama lain,” katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! DJ Lin menang lagi, tahun ketiga rangkul anugerah ‘Penyampai Radio Paling Dipercayai’ ARTIKEL BERKAITAN: Alhamdulillah... Cantik DJ Lin bertudung, terbuka hati mengenakan hijab selepas pemergian insan tersayang DJ Lin tercalon bagi kategori berkenaan bersama empat rakan penyampai lain iaitu Tyzo (Suria FM), Johan (Hot FM), Haiza (Kool 101), dan DJ Sonic (Nasional FM). Dalam masa sama, DJ Lin juga melihat sokongan peminat antara sebab dia kekal bertahan selama 17 tahun sebagai penyampai radio. Meskipun menggalas jawatan sebagai Pengurus Besar di Suria FM, DJ Lin berkata dia tidak pernah terfikir untuk meletakkan tanda noktah terhadap kerjayanya itu dan mahu terus mengendalikan segmen Suria Cinta. Bagi saya dalam anugerah sebegini kita bersaing secara sihat dan sama-sama memeriahkan industri penyiaran radio DJ LIN PENYAMPAI RADIO “Setiap hari ada saja yang beritahu mereka undi saya dan menyatakan sokongan terutamanya peminat segmen kendalian saya. “Saya bertuah dengan rezeki, kasih sayang yang sentiasa ada daripada peminat sejak 17 tahun lalu,” ujarnya. Setiap anugerah yang diterima adalah penghargaan buat peminat DJ Lin. Tambahnya, penampilan baharu memakai hijab sejak pulang mengerjakan ibadah umrah pada April lalu telah membuka banyak pintu rezeki dalam kerjaya. “Saya percaya restu ibu dan keikhlasan dalam melakukan kerja akan sentiasa membuahkan hasil tanpa mengharapkan balasan. “Saya juga yakin keputusan berhijab membuka banyak lembaran baharu dan pintu rezeki buat saya,” jelasnya. Untuk rekod, DJ Lin sebelum ini pernah memenangi kategori berkenaan sebanyak empat kali. ABPBH35 bakal bersiaran secara langsung pada 21 Julai bertempat di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!