AIR mata bekas penyampai radio Ismahalil tumpah apabila dapat kembali memeluk erat ibu tersayang selepas dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis Isnin lalu. Ismahalil bertemu ibunya, Salbiah Mohd Noor, 88, sehari selepas dibebaskan sebagai menunaikan salah satu hasrat yang terbuku selepas tuduhan terhadap dirinya digugurkan. Berkongsi detik pertemuan ibu dan anak itu, isterinya iaitu Nor Haslinda Abd Manaf, 50, berkata, Ismahalil tidak dapat menahan air mata dan terus berpelukan sejurus tiba di rumahnya. Ismahalil bersama isteri (kiri) dan anak selepas bebas pertuduhan edar dadah. "Sebelum berjumpa saya ada beritahu ibu mentua supaya jangan menangis sebab Isma orangnya berhati lembut tetapi apabila sudah depan mata, dua-dua memang tak dapat tahan air mata. "Isma peluk ibunya dan memohon maaf atas apa yang berlaku. Ibunya pula memberitahu dia sentiasa doakan yang terbaik untuk Isma dan anak-anaknya yang lain," katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis. Haslinda turut berkongsi detik pertemuan ibu dan anak itu di laman sosial miliknya. ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Ini kasih sayang Allah kepada saya” - Ismahalil menangis, sujud syukur terlepas hukuman gantung ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ismahalil mahu jumpa ibu sedang sakit, hasrat mahu nikahkan anak sulung bakal terlaksana Dalam pada itu, Haslinda berkata, ibu mentuanya sentiasa mengikuti perkembangan perbicaraan Isma sejak suaminya itu ditahan pada Ogos 2021. Malah Salbiah juga pernah menziarahi Ismail ketika di penjara pada sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu. "Ketika dalam tahanan, Isma ada beritahu tidak mahu berjumpa ibunya kerana enggan melihatnya sedih tetapi apa saya nampak ibu mentua sangat kuat dan dia sendiri yang mahu melawat Isma. Ketika dalam tahanan Isma sering menjadi bilal dan imam... jadi selepas dia dibebaskan, dia mahu teruskan perkara itu NOR HASLINDAA ABD MANAF ISTERI ISMAHALIL "Sepanjang proses perbicaraan, saya akan maklumkan perkembangan kes Isma kepada adik-beradik lain dan ibu mentua juga ambil tahu apa yang berlaku kepada anaknya," ujarnya. Sementara itu, berkongsi perkembangan Ismahalil sejak dibebaskan, Haslinda memberitahu suaminya itu kini lebih banyak melibatkan diri dengan aktiviti keagamaan di surau berdekatan rumah mereka. "Ketika dalam tahanan Isma sering menjadi bilal dan imam... jadi selepas dia dibebaskan, dia mahu teruskan perkara itu. Ismahalil kini aktif mengikuti aktiviti di surau. "Selain itu, dia kini sedang berehat dan mungkin perlu sedikit masa untuk kembali jumpa rakan-rakan lain," kongsinya. Pada Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan Isma daripada pertuduhan mengedar dadah selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!