PEMINAT The 1975 kecewa dengan sikap vokalis kumpulan berkenaan yang dilihat sengaja mencipta kontroversi dengan melakukan pelbagai perkara tidak senonoh termasuk menghina undang-undang di Malaysia. Aryl Rosli, 30, berkata, dia yang pada awalnya teruja dengan kehadiran kumpulan daripada United Kingdom itu bertukar rasa benci apabila vokalis The 1975 dilihat sengaja merosakkan suasana konsert Good Vibes Festival 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada malam Jumaat. "Saya memang peminat The 1975, lagu-lagu mereka banyak yang best... saya datang konsert itu pun sebab nak dengar lagu-lagu mereka secara langsung. "Tapi sikap Matty yang tak profesional merosakkan suasana. Dia meludah di atas pentas, pecahkan dron milik penganjur... lebih mengecewakan dia hina kerajaan kita," katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu. Aryl hadir semata-mata untuk tonton The 1975. Pada malam Jumaat, persembahan The 1975 dihentikan serta merta selepas Matty menunjukkan pelbagai aksi kurang ajar dihadapan penonton termasuk memegang botol arak, berada dalam keadaan maduk serta meludah di atas pentas. Tidak cukup dengan itu, Matty menyelar dan menghina undang-undang berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LBGT) di Malaysia sebelum bertindak mencium pemain bass kumpulan itu, Ross McDonalds. Menjawab tuduhan penonton konsert itu bersorak seolah-olah bersetuju dengan pandangan Matty berhubung undang-undang berkaitan LBGT di Malaysia, Aryl berkata ia tidak melambangkan keseluruhan situasi. ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan muktamad! Fahmi Fadzil arahkan baki 2 hari Good Vibes Festival 2023 dibatalkan ARTIKEL BERKAITAN: Aksi tak senonoh Matty Healy biadab, Fahmi Fadzil panggil penganjur beri penjelasan Sebaliknya kata Aryl, kebanyakan penonton pada awalnya berasa keliru dengan tindakan Matty malah ada menganggap ia sebahagian daripada persembahannya. Namun sangkaan itu meleset apabila Matty bertindak diluar kawalan dan perbuatannya itu memang disengajakan. "Saya rasa penonton keliru dengan tindakannya, mereka menjerit tapi tidak tahu nak menyokong atau tidak dengan perbuatannya. Ada juga orang di sekeliling saya macam tertanya-tanya sama ada Matty dalam keadaan waras atau sebaliknya. Dia meludah di atas pentas, pecahkan dron milik penganjur... lebih mengecewakan dia hina kerajaan kita. ARYL ROSLI PEMINAT THE 1975 "Ramai keliru tapi mula sedar dan berasa marah apabila dia mula menghina kerajaan dan menyentuh isu berkaitan undang-undang LGBT di Malaysia," jelasnya. Sementara itu, Aryl memberitahu dia membayar RM300 untuk menyaksikan persembahan malam pertama Good Vibes Festival 2023 dan sebagai peminat sedih dengan situasi yang berlaku. Aryl berpendapat kumpulan itu sepatutnya bertanggungjawab dan membayar ganti rugi kepada penonton yang hadir dan kesalahan itu tidak sepatutnya diletakkan sepenuhnya kepada pihak penganjur. "Saya memang berharap dapat duit itu kembali tapi bukan dari pihak penganjur tapi saya mahu The 1975 yang bayar ganti rugi itu. Sejujurnya kumpulan itu yang salah dan musnahkan segalanya," jelasnya. Sekitar konsert The Good Vibes Festival 2023. Sebagai peminat tegar kumpulan berkenaan, Aryl memaklumkan dia kini mula membenci kumpulan berkenaan kerana terkejut dengan perangai biadap vokalisnya. Bukan sekadar sikap Matty namun kehadirannya sebagai peminat yang mahu menonton konsert berkenaan juga tidak dihargai oleh kumpulan berkenaan. Sementara itu, tinjauan mStar mendapati netizen mula menyerang ruang komen Instagram The 1975 yang rata-rata menyalahkan mereka sebagai punca pembatalan baki dua hari festival itu. Peminat harap Matty bayar ganti rugi tiket konsert. Malah ada di antara netizen menyelar sikap biadab Matty yang disifatkan kurang ajar dan sepatutnya mempelajari menghormati budaya dan undang-undang sesebuah negara selain tidak perlu menyentuh isu sensitif dalam persembahan. "Adakah kamu rasa diri sangat hebat sehingga semua orang perlu mendengar cakap kamu? Hormati undang-undang dan budaya orang lain. "Sebab kamu Good Vibes Festival telah dibatalkan sepenuhnya... kamu puas hati sekarang?," antara komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!