suria

Ellie Suriaty dan Azri Iskandar bertemu selepas setahun cerai, siap bergandingan dalam ‘Tanah Kubur’

Elly dan Azri profesional ketika bertemu di sidang media drama terbaharu.

SETAHUN selepas bercerai, pasangan pelakon Ellie Suriaty dan Azri Iskandar kembali bertemu ketika menghadiri pelancaran Tiga Drama Hebat yang diadakan di ibu negara pada petang Selasa.

Ellie atau Ellie Suriaty Omar, 53, berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah bertemu Azri malah tiada dendam dalam dirinya meskipun mereka sudah tiada ikatan sebagai suami isteri.

"Kami sudah hidup bersama selama 19 tahun... takkanlah nak buat-buat tak nampak kalau bertemu di majlis melibatkan kami berdua.

"Saya tak pernah bermusuh dengan Azri malah penceraian kami sebelum ini pun secara baik.

IMG_1568 (1)

Ellie profesional apabila melibatkan soal karier seni.

"Apabila berada dalam majlis seperti ini, sudah pasti saya mahu meraikan penganjur dan menghormati jemputan dibuat, kena profesional," katanya kepada mStar.

Tidak hanya itu, Ellie dan Azri bergandingan sebagai pelakon undangan dalam drama bersiri terbaharu Tanah Kubur yang bakal bersiaran di Astro Ria pada 11 Ogos ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Duit nak kahwin Dr Azra masih belum cukup, Azri Iskandar terpaksa tangguh majlis lagi

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Dr Azra masuk hospital gara-gara terkejut kontroversi bakal menantu, Azri Iskandar pula digugurkan projek teater

Kata Ellie, dia tidak mempunyai sebarang masalah bergandingan dalam drama atau filem bersama bekas suaminya itu namun bukan dalam satu babak yang sama.

"Saya profesional untuk berlakon dalam drama atau filem bersama tetapi janganlah dalam satu babak yang sama.

"Tetapi kalau sudah berada dalam satu set penggambaran apa boleh buat... Cuma harapnya tidaklah digandingkan dalam babak sama," jelasnya.

Saya profesional untuk berlakon dalam drama atau filem bersama tetapi janganlah dalam satu babak yang sama.

ELLIE SURIATY

PELAKON/PENGARAH

Dalam pada itu, Ellie berkata, hubungan Azri dan anak-anak mereka juga baik malah aktor itu tidak pernah culas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai bapa.

Malah Ellie sering menasihati anak-anaknya agar sentiasa menjaga silaturahim dengan Azri dan selain menghubungi atau bertemu dengannya.

"Anak-anak pun rapat dengan bapa mereka, saya tak pernah pisahkan mereka dengan Azri.

IMG_1571

Pasangan ini bercerai pada Mei tahun lalu.

"Saya selalu ingatkan anak-anak menelefon bapa mereka setiap hari. Alhamdulillah dia pun tak pernah gagal menjalankan tanggungjawab sebagai bapa," katanya.

Untuk rekod, Ellie dan Azri atau Azri Iskandar Zulkiffly, 55, bercerai talak satu pada 17 Mei tahun lalu.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 18, dan Nur Azreen, 14 tahun.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Azri juga dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31, Farah Qistina, 29 dan Nur Anis Mastura, 27 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain