suria

Poster ‘Mat Tudung Begins’ dikecam, Fizz Fairuz jawab imej lelaki berpenampilan wanita… “Saya bukan hari-hari pakai tudung”

Fizz mengharapkan penerimaan baik penonton bagi filem Mat Tudung Begins.

BELUM pun ditayangkan di pawagam, filem Mat Tudung Begins arahan pelakon Datuk Fizz Fairuz sudah menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

Antara yang menjadi bualan hangat netizen ialah penampilan pelakon lelaki menyerupai perempuan di dalam filem berkenaan.

Tampil menjawab mengenai kritikan itu, Fizz atau Mohd Fairuz Zainal Abidin, 43, menjelaskan apa yang dipaparkan pada poster filem berkenaan bukanlah menceritakan 100 peratus tentang lelaki yang menyerupai wanita.

Sebaliknya ia mengisahkan tentang penyamaran beberapa watak dan bukannya mengenai isu lelaki lembut.

fizz1 - 1

Gandingan serasi Fizz dan Achey menerusi Mat Tudung Begins.

"Saya bukan hari-hari pakai tudung. Bukan hari-hari memondan... Kalau penonton menonton filem ini nanti, tak sampai 10 babak pun saya menyamar jadi wanita.

"Cerita ini hanya berkisarkan tentang penyamaran... kalau nak ikutkan inilah hakikat selalunya perempuan jual apa sahaja barang pasti laku, itu jalan cerita di sebaliknya.

"Terima kasih kerana viralkan poster saya. Saya dalam industri ini sudah lebih 20 tahun... macam mana pun kita kena lalui juga," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Fizz Fairuz akhirnya bertemu Mimi Peri, rupanya berlakon dalam 'Mat Tudung Begins'

ARTIKEL BERKAITAN: 'Syinta Gila' runut bunyi 'Mat Tudung Begins', Safiey Illias perjelas maksud lirik mahu wanita hargai diri sendiri

Fizz berkongsi perkara itu ketika ditemui pada tayangan perdana filem Mat Tudung Begins yang diadakan di TGV 1 Utama, Damansara, Selangor pada malam Jumaat.

Sebelum ini, poster filem berkenaan menerima kritikan kerana memaparkan imej lelaki menyerupai wanita dan turut menarik perhatian pendakwah bebas.

Kalau penonton menonton filem ini nanti, tak sampai 10 babak pun saya menyamar jadi wanita.

FIZZ FAIRUZ

PELAKON/PENGARAH

Dalam pada itu, Fizz juga memberitahu dia sudah merujuk kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan lebih peka memandangkan pernah menjayakan filem Mat Tudung sebelum ini pada tahun 2014.

Malah Fizz memberitahu watak ‘wanita’ yang dimainkan olehnya dan Achey tidaklah terlalu berat berbanding filem terdahulu kerana kali ini mereka tidak mengenakan mekap tebal atau memakai bulu mata palsu.

"Kalau ikutkan filem Mat Tudung dulu kami lebih berhias seperti memakai bulu mata dan bermekap.

"Tapi untuk filem kali ini, saya cakap dengan Achey kita tak perlu mekap, hanya pakai tudung... kalau boleh hanya pakai lipstik dan bedak sahaja.

"Saya tahu syarat-syarat LPF dan sebelum saya buat filem ini pun saya dah berjumpa dengan orang-orang yang sepatutnya.

fizz3 - 1

Fizz mensasarkan kutipan sebanyak RM10 juta.

"Niat saya membuat filem ini adalah sebagai satu cerita penyamaran... bukanlah saya memondan hari-hari," ujarnya.

Semasa sidang media filem berkenaan, Fizz dilihat mengalirkan air mata kerana terlalu sebak merenung perjuangan selama sembulan tahun untuk menghasilkan filem ini.

"Saya sebak sebabnya saya simpan niat untuk membuat filem ini selama 9 tahun. Sepanjang tempoh itulah saya menghadapi kesusahan untuk mencari duit.

"Saya bukannya orang kaya... kalau pun saya ada nama (dikenali) dan sudah menang beberapa anugerah... bukan mudah untuk mendapat kepercayaan orang (penerbit).

"Saya teruja akhirnya ada individu yang sudi melabur dan memberi kepercayaan kepada saya untuk mengarahkan filem buat kali pertama," jelasnya.

Bercakap mengenai sasaran kutipan filem Mat Tudung Begins, Fizz berharap ia mencapai kutipan sebanyak RM10 juta.

Kata Fizz, tidak salah mereka meletakkan angka sasaran itu dan sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.

"Saya akan mensasarkan kutipan filem ini RM10 juta dan ke atas. Itu angan-angan dan impian saya.

"Jika tidak mencapai sasaran tak mengapa. Saya sudah banyak kali kecewa contohnya saya berlakon drama Nur Kasih... orang lain menang tiap-tiap tahun tapi saya tidak menang.

Mat Tudung Begins bakal menghiburkan penonton Ogos ini.

"Saya sudah kecewa sampailah 2011 giliran saya pula menang menerusi drama itu. Momen kecewa itu pasti ada, tipulah kalau saya cakap tidak ada.

"Saya kena terima apa sahaja kemungkinan yang berlaku dan saya juga percaya setiap kejayaan perlu ada prosesnya," katanya.

Selain Fizz, Mat Tudung Begins dibintangi barisan pelakon popular termasuk Achey, Isyariana, Maryam Durian Kimchi, Kazar Saisi, Fazlina Ahmad Daud dan Mimi Peri.

Filem tersebut akan mula ditayangkan di pawagam bermula 3 Ogos ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain