suria

Rakyat Kelantan mahu boikot sebab bersuara isu air, Syahmi Sazli hanya mampu reda

Netizen tunjukkan sokongan kepada Syahmi dan Anissa.

SUSULAN luahan isteri kepada pempengaruh dan Youtuber terkenal Syahmi Sazli mengenai masalah air yang tidak berkesudahan di Kelantan, terbaharu segelintir penduduk di negeri itu mahu memboikot perniagaan pasangan berkenaan.

Syami, 28, berkata, dia reda sekiranya penduduk Kelantan ingin memboikot dia dan perniagaannya hanya gara-gara bersuara demi kebaikan rakyat negeri tersebut.

"Kalau Mi (Syahmi) Nissa (Anissa) diboikot sebab bersuara untuk kebaikan rakyat senegeri, tak apa Mi reda.

"Yang mana masih ada bersama Mi, moga Allah membalas kebaikan semua," luahnya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Menerusi perkongsian tersebut, Syahmi turut mengulang siar hantaran sebuah page Facebook lain yang memaklumkan penduduk Kelantan mahu memboikot perniagaan pasangan berkenaan.

Syahmi 2

Luahan kecewa mengenai isu air di Kelantan membuatkan pasangan ini dikecam.

"Demo toksey nego nga ore Kelate doh ko? (Awak tak nak berniaga dengan orang Kelantan dah ke?)" tulisnya.

Sementara itu, kebanyakan pengikut Facebook Syahmi menyatakan sokongan kepada pasangan berkenaan dan meminta pasangan suami isteri itu bersabar dengan ujian terpaksa dilalui mereka ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Takkan sentuh masalah air pun salah?” - Syahmi Sazli perjelas kenyataan isteri, bersuara bukan maksud minta tukar kerajaan negeri

ARTIKEL BERKAITAN: “Cakap lebih kata tak sayang agama” - Isteri Syahmi Sazli kecewa, 33 tahun perintah Kelantan tapi isu air tak selesai

Malah ramai meminta agar Syahmi percaya kepada rezeki yang bukannya terletak di tangan manusia.

"Allah pemberi rezeki, jalan terus Syahmi. Pedulikan orang kata.

"Jangan risau ramai lagi yang sokong Syahmi, di luar Kelantan pun ramai.

"Sebelum ini saya tak sokong Syahmi tapi lepas isu ini tular demi kebaikan rakyat Kelantan... saya sokong awak!" antara komen netizen.

Syahmi

Syami reda jika ada pihak mahu memboikot perniagaannya.

Pada Jumaat lalu, Anissa meluahkan kekecewaan mengenai masalah air yang tidak berkesudahan di Kelantan walaupun sudah lebih 30 tahun kerajaan negeri sedia ada berkuasa.

Anissa mengulas tentang hal itu menerusi komennya pada hantaran yang dibuat seorang pengguna Facebok dikenali sebagai Nur Idayu Supian.

Nur Idayu sebelum itu berkongsi tentang rutinnya yang terpaksa mengambil air daripada tandas masjid berdekatan untuk kegunaan membersihkan diri menerusi grup Facebook Pasir Mas.

Susulan itu, Syahmi tampil memberi penjelasan berhubung salah faham berkenaan memandangkan isterinya menerima banyak kecaman dan kritikan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain