PELAWAK Shuib sudah memfailkan saman terhadap seorang lelaki dikenali sebagai John Dihani atau nama sebenarnya Mohd Johan Dihani Mohd Zaini yang didakwa memfitnahnya di laman sosial. Shuib atau Shamira Muhamad, 39, berkata, tindakan tersebut diambil susulan fitnah yang dibuat bukan sahaja menjejaskan nama baiknya tetapi melibatkan maruah keluarga serta perniagaan diusahakan. "Saya menerusi peguam telah memfailkan saman kepada seorang individu yang memfitnah saya melalui media sosial. Shuib mahu tindakan dijadikan panduan orang ramai. "Penggunaan media sosial secara meluas menyaksikan penyebaran fitnah dan berita palsu sehingga menjatuhkan reputasi pihak-pihak tidak bersalah. "Saya percaya tanggungjawab menentangnya bukan hanya terletak pada individu dianiaya tetapi semua masyarakat," katanya. Shuib memberitahu perkara itu menerusi sidang media yang diadakan pada Khamis. ARTIKEL BERKAITAN: “Harap abang sudi terima kedatangan saya” - John Dihani minta maaf, mengaku silap buat fitnah ARTIKEL BERKAITAN: [V] Shuib akhirnya bersemuka, berpelukan dengan pemfitnah... Bakal ambil tindakan terhadap seorang lagi individu Dalam pada itu, Shuib berkata dia sudah bersedia untuk turun naik mahkamah bagi berdepan kes tersebut demi menegakkan kebenaran serta membersihkan namanya. "Ketika saya buat sidang media Julai lalu, saya pernah menyebut nama dia... Saya sudah bersedia dan ada masa untuk dia, memandangkan dia yang minta (disaman). "Saya akan adakan masa itu, sebab dia yang mahu," ujarnya. Saya sudah bersedia dan ada masa untuk dia, memandangkan dia yang minta. SHUIB PELAWAK/PENYAMPAI RADIO Sementara itu, peguam Syed Afiq Syed Albakri berkata, pada 4 Julai lalu, John Dihani ada membuat permohonan maaf kepada Shuib namun mengubah kenyataan selepas itu. Ia susulan pada 10 Julai lalu, John Dihani yang juga defendan kes tersebut menyatakan dia tidak bersetuju dan menafikan semua fitnah yang dikeluarkan. "Pihak kami memfailkan saman terhadap defendan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan akan menyerahkan writ saman dan penyata tuntutan kepada defendan melalu peguamnya. "4 Julai lalu dia buat permohonan maaf tapi 10 Julai pihak kami terima surat daripada peguamnya menyatakan dia tak setuju dan menafikan semua fitnah yang dikeluarkan," katanya. Shuib diiringi peguam yang mewakilinya. Pada 4 Julai lalu, Shuib berkongsi dua paparan pengguna media sosial yang menyebarkan fitnah kononnya dia terlibat dengan dengan ikutan Freemason. Menerusi hantaran berkenaan, individu tersebut mendakwa Allahyarham isterinya, Siti Sarah ditidurkan secara paksa kerana Shuib ingin membuktikan pada ibu mengandung tentang risiko tidak mengambil vaksin. Walau bagaimanapun, salah seorang individu yang memfitnah Shuib iaitu Zulhairi Abu Othman, 35, telah bersemuka dan tampil membuat permohonan maaf. Manakala John Dihani pula tampil membuat permohonan maaf tidak lama selepas itu menerusi satu hantaran di media sosial. Dia mengakui kesilapan berkongsi kandungan tanpa fakta tepat dan mengakui tindakannya itu memburukkan keadaan. Bagaimanapun, Shuib bertegas mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap John Dhani kerana enggan tampil bersemuka. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!