PENYANYI Altimet menepati ramalan apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 yang berlangsung pada Sabtu. Altimet atau Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 45, yang bertanding menerusi kerusi Pakatan Harapan (PH) menewaskan calon Perikatan Nasional (PH) Sharifah Haslziah Syed Ariffin. Altimet mendapat undian sebanyak 26,172 undian dengan majoriti sebanyak 6,320.. Manakala Sharifah Haslziah mendapat 19,852 undian. Adun Lembah Jaya menyaksikan seramai 65,650 keluar mengundi bagi PRN kali ini. Altimet ketika membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat pada pagi Sabtu. Kemenangan Altimet sekali gus menjadikan dia sebagai penyanyi pertama bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi mewakili suara rakyat di Dewan Undangan Negeri Selangor. Untuk rekod, Altimet secara rasmi mengumumkan persaraannya sebagai penyanyi pada ulang tahun kelahirannya yang ke-40, lima tahun lalu. Bagaimanapun Altimet tetap aktif menulis lagu untuk penyanyi lain selain mengadakan konsert terakhirnya iaitu The Last Altimet Show pada Februari 2019. ARTIKEL BERKAITAN: PRN2023: Altimet mendahului undi tidak rasmi di Lembah Jaya ARTIKEL BERKAITAN: Altimet selesai mengundi, sempat bergambar dengan bakal pengantin Altimet memulakan karier seni dengan menganggotai kumpulan Teh Tarik Crew pada 1999 yang turut disertai oleh Mizz Nina, DJ Fuzz dan Fiquentional. Sepanjang bersama kumpulan ini, Altimet menerbitkan tiga album bersama iaitu TTC, Are We Rap Stars Now (1999), How's The Level? (2002) dan What's Next? (2004). Selepas kumpulan itu dibubarkan pada 2007, beliau memulakan kerjaya secara solo dan pernah menghasilkan empat buah album iaitu First Among Equals (2007), Kotarayaku (2014), Air (2018) dan O (2018). Altimet menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada April 2021. Altimet menyertai PKR pada April 2021. Sebelum ini pelakon Datuk Dira Abu Zahar atau Khaidhirah Abu Zahar pernah menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tahun lalu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim di Melaka. Untuk rekod, antara anak seni lain yang pernah bertanding dalam PRU15 adalah Datuk Jurey Latiff, Datuk Eizlan Yusof, Dr. Ahmad Idham dan Lando Nawawi namun kesemua mereka tewas. Penyanyi Datuk Aishah pula pernah bertanding dan tewas di Parlimen Jempol, Negeri Sembilan pada PRU13. Nasib sama diterima penyanyi Herman Tino yang bertanding di Parlimen Tanjung Karang, Selangor atas tiket bebas termasuk penyanyi Dayangku Intan yang bertanding di Parlimen Pengerang mewakili PKR pada PRU13. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!