suria

Selepas 20 tahun akhirnya ‘Battle of The Band’ kembali… Peluang anak muda tunjuk bakat kugiran

Anak muda boleh tunjuk bakat nyanyian dalam BOTB2023.

SELEPAS 20 tahun, pertandingan nyanyian mencungkil bakat kugiran tempatan iaitu Battle Of The Band (BOTB) diadakan semula dengan konsep serta format baharu.

Menurut Pengarah MASH Entertainment Sdn Bhd yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Hidayah (HERO), Dr Murad Hilmi Mohamed, festival Battle Of The Band 2023 (BOTB2023) bakal menjadi platform kepada bakat muda yang ingin mempamerkan kebolehan dan karya menerusi muzik.

"Festival ini dibuka kepada mana-mana band atau kugiran dari seluruh Asia termasuk Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura.

"Apa yang ingin diketengahkan adalah menggarap muzik berkualiti dan bakat-bakat yang bakal meneruskan legasi untuk mewarnai industri muzik.

battle 2

BOTB kembali selepas 20 tahun.

"Kami masih mengekalkan nama BOTB kerana ia sudah sinonim dengan kugiran," katanya.

Dr Murad berkata demikian ketika sidang media BOTB yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Bercakap mengenai penganjuran festival itu, Dr Murad memberitahu objektif utama adalah untuk membuka peluang kepada studio rakaman agar kembali bernafas semula.

Katanya, fenomena bakal tercetus dengan penganjuran festival itu, sekali gus dapat menaikkan martabat penggiat seni tanah air.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Battle Of The Band' : Empat Band Mara Ke Final

ARTIKEL BERKAITAN: Search dan Barbarik kongsi pentas lagi, Konsert Double Trouble 2 kembali 5 Ogos

"Semoga festival ini dapat memberikan impak besar kepada industri muzik tempatan dengan kepelbagaian genre muzik berkualiti tinggi.

"Kami mahu mencari bakat berkualiti yang mampu kekal relevan dalam industri muzik, bukan tenggelam selepas muncul dengan satu single sahaja," katanya.

Mengulas mengenai pertandingan itu, Dr Murad berkata peserta perlu melalui sesi saringan peringkat pertama yang bakal berlangsung antara 7 hingga 10 September depan bertempat di Pasir Gudang, Johor.

"Lokasi Pasir Gudang dipilih kerana ia sinonim dengan BOTB sejak dianjurkan pada 1974.

battle 1

Dr Murad mahu cari pelapis baharu industri muzik.

"Seramai 15 peserta dipilih pada saringan pertama dan diuji sekali lagi pada sesi separuh akhir pada 23 September depan.

"Peserta akan diberi peluang menyampaikan lagu saduran dan cabaran. Contohnya, lagu Damasutra dalam genre rock balada, kita akan cabar peserta menyampaikan dalam rentak reggae dan melihat bagaimana membuat susunan semula muzik mengikut kreativiti,” katanya.

Kata Dr Murad lagi, seramai 10 peserta terbaik akan dipilih untuk melayakkan diri ke peringkat akhir yang bakal berlangsung di Jobox, Angsana, Johor Bahru.

"Pemenang pertama bakal membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi dan berpeluang merakamkan single baharu. Tempat kedua RM5,000 dan ketiga RM3,000.

"Kami juga bercadang menganjurkan pertandingan bagi musim kedua dan ketiga sekiranya festival ini mendapat sambutan peserta,” katanya.

Manakala, barisan artis legenda BOTB seperti Lord Lokman (The Boys), pemain dram Ekamatra, Acid; ketua kumpulan dan pemain gitar Bloodshed, Hamdan dan Bagio Damasutra bertindak sebagai mentor program ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain