suria

Bimbang orang salah faham kaitkan tarian gelek seksi, penganjur tukar nama Konsert Goyang Asia Koplo Milenia

Konsert Milenia lebih ketengahkan seni muzik dangdut.

ENGGAN mencetuskan sebarang kontroversi atau salah faham, pihak penganjur Konsert Goyang Asia Koplo Milenia mengambil langkah menukar nama acara tersebut kepada Konsert Milenia Live in Kuala Lumpur.

Menurut penganjur iaitu Riezman Khuzaimi dari Mission Sight Sdn Bhd, perkataan 'koplo' sering kali dikaitkan dengan muzik yang turut diiringi tarian seksi.

Justeru pihaknya mengambil langkah supaya dapat mengelak sebarang persepsi tidak betul mengenai acara dan persembahan yang lebih mengetengahkan muzik dangdut itu.

konsert milenia 1

Riezman (kanan) ambil inisiatif tukar nama konsert.

"Kami sedar bahawa apabila disebut dangdut koplo ia akan mendapat reaksi dan persepsi negatif daripada masyarakat setempat, tambahan lagi muzik koplo jika di Indonesia diiringi tarian agak seksi.

"Jadi dalam memartabatkan muzik dangdut di Malaysia maka kami tampil dengan persembahan yang berbeza yang lebih menonjolkan seni di dalam muzik itu sendiri tanpa elemen negatif dalam kalangan masyarakat.

"Kami hanya menjual irama dan lagu bukan unsur-unsur negatif seperti tarian dan gelek lucah seperti yang didakwa sesetengah pihak," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Konsert Goyang Asia Koplo ditunda September depan, penganjur tanggung kerugian selepas ditipu

ARTIKEL BERKAITAN: “Orang negatif tiang pun nampak seksi” - Amelina pertahankan genre dangdut, tarian gelek cara hiburkan peminat

Sementara itu bagi menarik lebih ramai penonton untuk menyaksikan konsert berkenaan, pihak penganjur juga menawarkan potongan harga tiket sebanyak 50 peratus.

Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada peminat muzik dangdut termasuk warganegara Indonesia yang berada di Malaysia menyaksikan penyanyi asal negara itu membuat persembahan.

Dalam masa sama, besar harapan penganjur untuk meneruskan acara ini selama dua malam sekiranya tiket konsert 29 September ini habis dijual.

konsert milenia 3

Amelina (kiri) dana Ani antara penyanyi dangdut yang bakal membuat persembahan.

"Pengurangan harga ini juga adalah kerana penganjur bercadang untuk mengadakan konsert selama dua malam. Sekiranya ia terlaksana kemungkinan penyanyi Baby Shima dan beberapa artis lain berpeluang menyertai.

"Bagaimanapun untuk meneruskan konsert pada malam kedua, masih di peringkat perancangan. Namun kalau berjaya direalisasikan, pastinya penonton akan disajikan persembahan berbeza," ujarnya.

Sebelum ini, nama Baby Shima diumumkan sebagai antara penyanyi yang bakal terlibat dalam konsert berkenaan, namun terpaksa menarik diri atas urusan lain.

Konsert Milenia Live in Kuala Lumpur menampilkan gabungan artis Malaysia dan Indonesia termasuk Amelina, Ani Maiyuni, Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek-kelepek dan Rheyna Morena.

Konsert yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor ini juga dimeriahkan dengan penganjuran Festival Muzik Milenia di lokasi sama bermula 29 September hingga 1 Oktober ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain