SELEPAS kejayaan lagu Santai mengambil ilham karya seniman agung Allahyarham Tan Seri P Ramlee, penyanyi dan komposer Faizal Tahir sekali lagi muncul dengan lagu berunsur nasihat berjudul OK. Menurut Faizal Tahir atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohamad Tahir, 44, penghasilan lagu OK bersama Ezra Kong ini bertujuan untuk menaikkan semangat dan motivasi dalam jiwa pendengar. Malah lagu ini juga menyampaikan mesej nasihat supaya pendengar tidak mudah putus asa dalam meneruskan perjuangan hidup. “Dunia ini penuh cabaran ditambah lagi ramai yang cuba menjatuhkan dan menyakitkan kita menggunakan kata-kata. Namun tidak perlu kita terbawa emosi untuk membalas, kita boleh jawab ‘no comment’ saja. Lagu OK pupuk semangat jiwa pendengar. “Dalam masa sama, kekal tabah dan teruskan pencarian seperti seorang pendekar berdisiplin yang tak henti-henti memperbaiki dan memperkasakan dirinya,” katanya. Berkongsi lanjut mengenai lagu OK, Faizal berkata dia mengetengahkan elemen dikir barat di dalam rentak dan produksi moden sekali gus ia kedengaran jauh berbeza daripada kebanyakan karyanya sebelum ini. Katanya eleman muzik dan bunyi yang dipersembahkan dalam lagu OK memberi isyarat yang mana muzik Faizal juga berubah secara perlahan-lahan. “Dari awal pembabitan dalam bidang seni lagi saya sentiasa ingin mencuba benda baharu. Bagi saya, versatiliti itu penting. Dalam dunia seni, versatiliti membolehkan anda bereksperimentasi dengan pelbagai aspek kreativiti,” katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Isu buli buat Faizal Tahir bimbang, didikan perlu bermula dari rumah... Minta jangan salahkan guru semata-mata ARTIKEL BERKAITAN: Hantar anak bongsu pusat rehabilitasi, Faizal Tahir syukur Maryam tunjuk perkembangan sangat positif Sama seperti kebanyakan lagu sebelum ini antaranya Ragaman dan Santai, bait liriknya sarat dengan mesej berguna dan juga berunsur nasihat. Kata Faizal, ini merupakan satu tanggungjawab sebagai anak seni dalam menyebarkan nasihat dan peringatan. “Jadi, keunikan single ini juga adalah mesej yang ingin disampaikan. Muzik tetap muzik, kita boleh berikan pelbagai jenis yang sedap didengar, tetapi apa yang penting, mesej yang ingin disampaikan,” ujarnya. Dalam pada itu, lagu OK juga bakal dinyanyikan di konsert solo pertamanya Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur yang dibawakan oleh Allianz Malaysia Berhad pada 2 September nanti. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!