suria

Pertemuan disifatkan sebagai rezeki, Tiz Zaqyah doa urusan Abdul Rahman dipermudahkan

Tiz melawat keluarga mangsa kemalangan di Muar, Johor.

KEMALANGAN ngeri melibatkan sebuah kereta dan lori membawa muatan pasir sehingga mengorbankan enam ahli keluarga mendapat perhatian pelbagai pihak yang sedih dengan insiden menyayat hati itu.

Tidak terkecuali pelakon Tiz Zaqyah yang turut terkesan dengan kejadian tersebut lebih-lebih kepada anak lelaki sulung keluarga mangsa Abdul Rahman Amir Ruddin, 19, yang kini menjadi yatim piatu.

Tiz atau Siti Zaqyah Abdul Rahman, 34, turut meluangkan masa melawat Abdul Rahman di rumah ibu saudaranya di Muar, Johor.

tiz2 - 1

Kemalangan berlaku pada petang 1 September lalu.

Aktres itu turut meluahkan rasa syukur kerana dapat melawat remaja berkenaan selain mendoakan agar semua urusan Abdul Rahman dipermudahkan selepas ini.

"Alhamdulillah dapat juga rezeki melawat adik Rahman petang tadi di rumah ibu saudaranya di Muar... Ramai juga yang datang melawat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegang watak mangsa rogol dalam ‘Liar’ cabaran besar Tiz Zaqyah, hampir kena serangan panik

ARTIKEL BERKAITAN: Treler tak sempat break, langgar kereta depan... Ini identiti 6 sekeluarga maut tragedi kemalangan Segamat

"Terima kasih juga kepada yang menderma semoga Allah permudahkan semuanya untuk adik Rahman. Salam takziah," katanya.

Tiz berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya pada malam Isnin.

Menerusi satu hantaran video, Tiz turut kelihatan sedih dan sebak ketika melawat Abdul Rahman.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.37 petang pada 1 September lalu, enam sekeluarga maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan pasir.

Mereka yang maut adalah ibu bapa Abdul Rahman iaitu Norahimah Noor Muhammad, 43, Amir Ruddin Ismail, 46, dan empat anak mereka Fatimahtulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Jenazah enam beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ubuddiah, Parit Limbong pada petang 2 September lalu.

Dalam kejadian itu, adik Abdul Rahman iaitu Abdullah, 15, yang turut terlibat dalam kemalangan itu sedang menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat akibat kecederaan parah di bahagian kepala, usus dan paru-paru.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain