KONSERT Milenia yang dijadualkan berlangsung pada 30 September ini terpaksa ditangguhkan sekali lagi ke tarikh baharu iaitu 25 November 2023. Penganjur Mission Sight Sdn Bhd berkata, penundaan itu dibuat selepas berbincang dengan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menghormati tarikh sambutan Maulidur Rasul pada 28 September. Pengarah urusannya, Jeffri Yaacob berkata, penetapan tarikh baharu itu juga dapat memberi peluang kepada lebih ramai penonton untuk hadir. "Diharap dengan penundaan Konsert Milenia ke tarikh yang lebih sesuai dapat membuka ruang kepada lebih ramai lagi penonton untuk sama-sama memeriahkan acara ini bersama-sama dengan kami. Penganjur harap lebih ramai akan datang pada tarikh baharu. "Tambahan lagi, kami juga bercadang untuk mengadakan Muzik Milenia Food Festival selama empat hari berturut-turut di perkarangan Stadium Malawati Shah Alam bermula pada 23 hingga 26 November 2023," katanya. Sebelum konsert tersebut pada awalnya dirancang pada 12 Ogos namun terpaksa ditangguhkan kepada 30 September susulan masalah dalaman yang dihadapi. Lokasi bagi penganjuran masih sama iaitu di Stadium Melawati, Shah Alam. ARTIKEL BERKAITAN: Konsert Goyang Asia Koplo ditunda September depan, penganjur tanggung kerugian selepas ditipu ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang orang salah faham kaitkan tarian gelek seksi, penganjur tukar nama Konsert Goyang Asia Koplo Milenia Sementara itu, penganjuran dengan melibatkan penyanyi dangdut dari Malaysia dan Indonesia ini juga diharapkan dapat menjadi tarikan buat pengunjung dua negara. Selain itu, ia turut akan menjadi satu permulaan untuk mempamerkan genre dangdut dalam pelbagai versi sesuai dengan kemajuan teknologi terkini. "Kerjasama dengan sayrikat Indonesia sedikit sebanyak dapat membantu perkembangan muzik dangdut di Malaysia dengan penghasilan lagu-lagu baru menggunakan teknologi terkini. Amelina dan Ani antara yang akan membuat persembahan. "Diharap genre dangdut di Malaysia yang diperbaharui dan disegarkan mampu meneroka pasaran luar negara, sekaligus mewujudkan peluang kepada artis-artis dangdut tanah air untuk mengembangkan lagi karier mereka," ujarnya. Selain Amelina dan Ani Mayuni, artis yang bakal terlibat dalam konsert ini adalah Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek-Klepek dan Rheyna Morena. Penampilan DJ Ace dan DJ Bob Arjuna turut memeriahkan lagi malam konsert berkenaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!